Penganjur wajib patuhi kod Sukan Selamat – Adam Adli

3 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim menegaskan setiap penganjur acara antarabangsa perlu mematuhi kod Sukan Selamat serta mendapatkan kelulusan rasmi daripada kementerian sebelum menganjurkan pertandingan di Malaysia.

Beliau berkata, setakat ini penganjur acara Warzone masih belum mengemukakan permohonan rasmi untuk mendapatkan kebenaran menteri bagi acara antarabangsa mereka meskipun telah menghantar surat permohonan maaf kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Secara rasmi belum ada permohonan diterima, namun kita difahamkan mereka sudah pun menulis surat permohonan maaf kepada KBS,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan KL RunFest 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Menurutnya, isu yang dibangkitkan oleh KBS bukan semata-mata soal ketiadaan kelulusan, tetapi turut melibatkan teguran terhadap nilai serta penglibatan kanak-kanak dalam acara berkenaan.

“Isu yang kita timbulkan bukan hanya tentang sanction (kelulusan), tapi juga tentang nilai dan keselamatan peserta bawah umur. Bagaimanapun, kita percaya perkara ini boleh diselesaikan dengan baik sekiranya semua syarat yang ditetapkan dipatuhi,” jelasnya.

Adam berkata, kementerian tetap terbuka memberi peluang kepada penganjur untuk memohon kelulusan rasmi sekiranya mereka berhasrat meneruskan penganjuran acara tersebut.

“Mereka masih diberikan peluang untuk kemukakan permohonan sama ada untuk sanction atau kebenaran menteri. Acara itu boleh diteruskan sekiranya setiap garis panduan dipenuhi,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Adam menjelaskan proses kelulusan bagi acara antarabangsa biasanya mengambil masa sekitar sebulan dan perlu diikuti tanpa pengecualian.

“Kita perlu ikut proses yang telah ditetapkan. Sebab itu kita tekankan kepentingan membuat permohonan awal, terutamanya bagi acara besar yang melibatkan ramai peserta,” ujarnya.

Kontroversi Warzone tercetus selepas video promosi kejohanan itu menampilkan aksi dua kanak-kanak bertarung, sekali gus mengundang kecaman awam dan teguran daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menyifatkan tindakan itu tidak wajar serta bercanggah dengan prinsip Sukan Selamat.

Adam Adli meninjau penganjuran KL RunFest 2025, hari ini.

Dalam masa sama, Adam berkata penganjuran KL RunFest 2025 menjadi contoh terbaik bagaimana acara sukan boleh diurus dengan profesional, beretika dan memberi limpahan ekonomi kepada negara.

“Kita harap kerjasama antara syarikat tempatan dan antarabangsa seperti Mizuno dapat menjadi pemangkin kepada budaya bersukan serta perkembangan ekonomi sukan negara,” katanya.

Beliau menambah, acara empat hari itu dijangka menarik sehingga 30,000 pengunjung termasuk 1,500 peserta larian dan lebih 800 pelari dalam acara Together-Gether Shake Out Run, sekali gus menonjolkan Malaysia sebagai hab utama penganjuran acara larian rantau ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |