Penganggur bakar motosikal, beranda kayu penduduk Kupang dipenjara 12 tahun

3 days ago 8

BALING – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan membakar lima motosikal serta beranda kayu di Kupang, di sini sejak Disember tahun lalu.

Tertuduh, Afif Jazimin Jamaluddin, 23, dari Kampung Pisang, Kupang membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Najwa pada prosiding itu menjatuhkan hukuman selama empat tahun bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh dan memerintahkan ia berjalan secara berasingan dari tarikh tangkap, 20 Januari lepas.

Afif Jazimin dilihat dalam keadaan tenang sepanjang berada di dalam kandang tertuduh dan hanya menggeleng kepala ketika ditanya sama ada mahu membuat rayuan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat dengan api dengan membakar Modenas Kriss dan SM Sport milik Mazlan Saad, 50, serta Honda EX5 milik Nafisah Saad, 43, di sebuah rumah di Kampung Pisang, Kupang kira-kira pukul 3.30 pagi, 24 Disember tahun lalu.

Tertuduh yang merupakan anak sulung daripada empat beradik juga didakwa melakukan perbuatan sama dengan membakar sebuah motosikal jenis Honda EX5 milik Wahab Md. Hasan, 87, di Kampung Jerai, Kupang kira-kira pukul 3.15 pagi, 27 Disember tahun lalu.

Afif Jazimin turut dituduh membakar sebuah motosikal jenis Modenas Kriss dan beranda kayu milik Zaherah Jusoh, 59, di Kampung Hangus, Kupang kira-kira pukul 3.30 pagi, 2 Januari lalu.

Pendakwaan bagi setiap pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nursyafina Baharudin dalam rayuannya berkata, tertuduh merupakan seorang penganggur dan belum berkahwin serta masih tinggal dan menjaga ibu bapanya yang masing-masing berusia 43 dan 52 tahun.

“Saya memohon agar mahkamah dapat mengambil kira pengakuan salah tertuduh yang menjimatkan masa pihak-pihak.

“Saya percaya tertuduh telah insaf dan saya memohon hukuman berbentuk penjara paling minimum dan berjalan serentak dari tarikh tangkap,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md. Salleh bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh.

Kosmo! Online pada 22 Januari lalu melaporkan dendam akibat dibuli di tempat kerja disyaki menjadi punca seorang lelaki bertindak membakar sembilan buah rumah di Kupang, Baling sejak pertengahan Disember lalu hingga awal bulan lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, suspek sebelum ini bekerja di sebuah kilang getah dan tindakannya membakar rumah dan kenderaan itu adalah akibat perasaan dendam.

Modus operandi suspek adalah mencurahkan petrol ke atas motosikal lalu membakarnya sebelum merebak ke rumah penduduk.

Kebakaran sembilan rumah termasuk dua kenderaan dan 18 motosikal melibatkan kerugian berjumlah RM770,000. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |