Pengambilan tanah hutan simpan kekal Wilayah Persekutuan perlu siasatan awam

3 days ago 9

KUALA LUMPUR – Pengambilan tanah hutan simpan kekal (HSK) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan perlu melalui proses siasatan awam susulan penguatkuasaan Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 [Akta A1667] bermula semalam.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keluasan keseluruhan HSK di Wilayah Persekutuan ketika ini 152.97 hektar merangkumi 84.689 hektar HSK di Kuala Lumpur dan 68.281 hektar HSK di Labuan.

Jelas beliau, siasatan awam dalam Akta A1667 merujuk kepada proses penyelidikan atau kajian yang dilakukan secara terbuka untuk menyiasat isu yang mempunyai kepentingan awam.

“Siasatan itu bertujuan mendapatkan fakta, menilai bukti dan menentukan punca sesuatu isu atau insiden serta mencadangkan tindakan yang perlu diambil untuk mengelakkan perkara serupa berulang.

“Antara ciri-ciri utama siasatan awam dijalankan secara terbuka yang mana keputusannya boleh diakses orang ramai membabitkan isu berkepentingan awam, pembabitan saksi pakar dan mereka yang terbabit dalam isu berkaitan dan untuk kenal pasti punca dan mengusulkan kaedah tambah baik,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Nik Nazmi berkata, Akta A1667 mengandungi sebanyak 62 peruntukan termasuk proses pewartaan keluar dan penggantian HSK dengan kawasan tanah yang sama luas atau lebih besar.

Menurut beliau, ia turut membabitkan proses pelantikan pegawai perhutanan Persekutuan bagi memeriksa dan menyiasat orang yang disyaki melakukan kesalahan hutan dan mengadakan sekatan jalan.

Tambahnya, pindaan turut merangkumi peningkatan kadar denda dan hukuman ke atas kesalahan hutan iaitu denda maksimum bermula RM20,000 hingga RM5 juta dan hukuman penjara maksimum tujuh hingga 20 tahun.

“Penguatkuasaan P.U.(A) 50/2025 menjadikan Wilayah Persekutuan (JPWP) sebagai negeri kedua mempunyai perundangan dan prosedur bagi menjalankan siasatan awam sebelum pewartaan keluar HSK selepas Selangor.

“Kedah itu boleh dijadikan rujukan kepada negeri lain yang ketika ini sedang menggubal perundangan subsidiari masing-masing bagi menguatkuasakan Akta A1667,” katanya.

Kata Nik Nazmi, kementeriannya melalui Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan (JPWP) sedang berusaha menambah HSK di Wilayah Persekutuan dengan mewartakan kawasan Bukit Dinding, Mukim Ulu Kelang seluas 20.05 hektar.

Kata beliau, melalui pewartaan berkenaan, kawasan itu dapat dilindungi dan dikekalkan sebagai kawasan hijau selain boleh bertindak sebagai ‘paru-paru hijau’ bagi kawasan sekitar.

“Pewartaan ini juga akan meningkatkan keluasan kawasan HSK di Wilayah Persekutuan khususnya dan negara amnya, sekali gus menyokong komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan liputan hutan dan pokok-pokok,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |