PETALING JAYA – Sejak sekian lama, penerbangan menjadi pilihan pengguna untuk menuju ke sesuatu destinasi kerana ia menawarkan perjalanan yang lebih pantas.
Malah, banyak syarikat penerbangan menawarkan laluan yang menghubungkan pelbagai destinasi di seluruh dunia kepada pengguna.
Oleh yang demikian, keperluan pengguna penerbangan kini juga semakin berkembang pada ketika ini.
Namun, dalam masa yang sama, sebagai pengguna penerbangan, mereka sebenarnya mempunyai hak-hak tertentu yang dilindungi apabila memilih menggunakan mod pengangkutan udara tersebut.
Bagi melindungi pengguna penerbangan di Malaysia, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menambah baik Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).
Pengarah, Hal Ehwal Pengguna dan Perhubungan Awam MAVCOM, Pushpalatha Subramaniam berkata, pihaknya menambah baik MACPC secara berkala, dengan pindaan pertama dibuat pada tahun 2019 dan pindaan kedua pada tahun 2024.
Menurutnya, ini bagi memastikan MACPC kekal seiring dengan perkembangan industri penerbangan serta keperluan pengguna yang semakin berkembang.
“Langkah ini diambil bagi memperkukuh perlindungan pengguna di Malaysia dan memastikan hak-hak pengguna terus terpelihara apabila mereka terbang.
“Kesan pandemik Covid-19 memerlukan penambahbaikan kepada MACPC bagi menangani cabaran baharu yang dihadapi akibat keadaan luar biasa ini dengan berkesan,” katanya.
Sehubungan itu, MAVCOM telah menambah baik MACPC bagi meningkatkan perlindungan pengguna dalam menghadapi persekitaran penerbangan yang semakin dinamik.
Tambah Pushpalatha, penambahbaikan MACPC ini telah diwartakan pada 30 Ogos 2024 dan mula berkuat kuasa pada 1 September 2024.
Jelasnya, antara penambahbaikan baharu yang diperkenalkan termasuklah bagi kelewatan penerbangan selama lima jam dan lebih, syarikat penerbangan dikehendaki menawarkan pengguna pilihan bayaran balik kos tiket sepenuhnya termasuk cukai dan fi melalui mod bayaran asal sekiranya pengguna memutuskan untuk tidak meneruskan perjalanan.
Terangnya lagi, untuk gangguan penerbangan yang disebabkan oleh keadaan luar biasa, syarikat penerbangan dikehendaki terlebih dahulu menawarkan bayaran balik kos tiket sepenuhnya termasuk cukai dan fi melalui mod bayaran asal.
“Selain itu, sekiranya pengguna memutuskan untuk tidak meneruskan perjalanan, mereka boleh mengemukakan permohonan bayaran balik kepada syarikat penerbangan untuk tuntutan bayaran balik mandatori termasuk Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC), cukai, fi dan caj yang dikenakan oleh kerajaan dan ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, surcaj bahan api serta apa-apa fi dan caj lain dikenakan oleh syarikat penerbangan seperti fi karbon.
“Bayaran balik perlu diremit dalam tempoh 30 hari melalui mod bayaran asal dan ini terpakai untuk tiket yang mempunyai nilai bayaran balik dan tiket yang tidak mempunyai nilai bayaran balik,” jelasnya.
Dalam pada itu, antara penambahbaikan lain termasuk semua penerbangan yang dibatalkan mesti dikeluarkan daripada semua sistem tempahan, termasuk platform ejen pelancongan dalam talian dan luar talian.
Ini adalah untuk melindungi pengguna supaya tidak membeli tiket penerbangan yang telah dibatalkan.
Selain itu, sebarang perubahan dalam Waktu Perlepasan yang Dijadualkan (STD) mesti dimaklumkan kepada pengguna sekurang-kurangnya dua minggu sebelum waktu pelepasan sebenar, melainkan ia disebabkan oleh hal keadaan luar biasa atau masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
Sebarang larangan menaiki pesawat ‘denied boarding’ kerana tempahan penerbangan berlebihan perlu dimaklumkan kepada pengguna sebelum menaiki pesawat tersebut.
Menafikan pengguna yang telah menaiki pesawat adalah dilarang.
Sementara itu, had masa untuk pengguna mengemukakan aduan kini dilanjutkan daripada satu tahun kepada dua tahun.
Apa yang terkandung dalam MACPC terpakai bagi insiden yang berlaku dalam Malaysia.
Kod ini terpakai kepada syarikat penerbangan tempatan, syarikat penerbangan asing atau lapangan terbang bagi insiden yang berlaku di Malaysia.
Pengguna dilindungi di bawah MACPC walaupun tanpa membeli insurans perjalanan.

Mengulas lanjut, Pushpalatha berkata, adalah mandatori bagi syarikat penerbangan untuk mematuhi MACPC.
Menurutnya, kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan penalti kewangan dikenakan.
“Bergantung pada jenis dan tahap ketidakpatuhan terhadap MACPC, syarikat penerbangan boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM200,000 untuk kesalahan pertama, dan 10 kali ganda penalti untuk kesalahan kedua atau ketidakpatuhan seterusnya terhadap MACPC.
“Sehingga Mac 2025, MAVCOM telah mengenakan penalti kewangan berjumlah RM4.85 juta secara kumulatif ke atas syarikat-syarikat penerbangan yang gagal mematuhi MACPC,” katanya.
Dalam pada itu, penambahbaikan dalam MACPC ternyata memberi manfaat kepada pengguna.
Salah satu yang paling ketara dalam melindungi hak pengguna adalah berkaitan dengan kelewatan penerbangan yang selama lima jam atau lebih.
Pushpalatha berkata, langkah ini diperkenalkan bagi memberikan lebih fleksibiliti kepada pengguna, terutamanya bagi mereka yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan akibat kelewatan penerbangan yang ketara.
Menurutnya, dengan adanya pilihan ini, pengguna dapat membuat keputusan yang lebih termaklum dan kurang terbeban oleh gangguan jadual penerbangan yang tidak dijangka.
“Selain itu, untuk gangguan penerbangan yang disebabkan oleh keadaan luar biasa juga paling ketara memberi perlindungan hak pengguna.
“Penambahbaikan ini mencerminkan komitmen terhadap peningkatan perlindungan pengguna dalam sektor penerbangan, sekaligus memastikan syarikat penerbangan bertanggungjawab dalam menangani gangguan perjalanan yang memberi impak kepada pengguna,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, MAVCOM terus mempergiatkan usaha dalam melaksanakan publisiti, serta program advokasi bagi meningkatkan kesedaran mengenai hak-hak pengguna penerbangan.
Secara tidak langsung, inisiatif ini turut menggalakkan pengguna untuk memperkasakan hak-hak mereka dengan mengemukakan aduan kepada syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang, atau MAVCOM bagi memastikan mereka menerima penyelesaian yang adil dan saksama.
MAVCOM menasihatkan pengguna untuk terlebih dahulu mengemukakan aduan kepada syarikat penerbangan atau pengendali lapangan terbang yang berkaitan, bagi memberikan mereka peluang untuk menyelesaikan isu tersebut.
Syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang mempunyai tempoh 30 hari untuk menyelesaikan aduan pengguna yang diterima.
Bagi sebarang aduan, pengguna penerbangan boleh menghubungi MAVCOM di talian 1800-18-6966 (untuk panggilan dalam Malaysia) dan +603-7651 2777 (untuk panggilan antarabangsa), Isnin hingga Jumaat dari jam 8.30 pagi sehingga 5.30 petang waktu tempatan.
Aduan juga boleh dikemukakan di laman web FlySmart di https://flysmart.my/bm/buat-aduan/.