Pemuda maut kereta sport Toyota GR86 bertembung bas ‘pink’

2 weeks ago 16

MELAKA – Seorang pemuda maut selepas kereta sport Toyota GR86 dipandunya bertembung dengan sebuah bas henti-henti, BAS.MY (bas pink) di Jalan Krubong menuju Sungai Badau, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 pagi, pemandu kereta, Chong Chee Tong, 26, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dalaman badan dan kepala.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid, panggilan kecemasan diterima pada pukul 7.40 pagi dan sepasukan enam anggota bersama-sama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba pada pukul 7.47 pagi, pasukan dapati pemandu Toyota GR86 telahpun meninggal dunia, manakala pemandu bas berusia 34 tahun tersepit di bahagian pemandu dan mengalami kecederaan pada kaki serta tangan kiri.

“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, operasi menyelamat telah diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (TBK I) Mohd. Norsyah Salleh dan tamat sepenuhnya pada pukul 9.57 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Toyota GR86 terbabit yang datang dari arah lampu isyarat One Krubong menuju Krubong Perdana telah hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

“Kereta itu kemudian melanggar bahagian hadapan bas yang datang dari arah Krubong Perdana menghala ke Melaka Sentral.

“Impak kuat menyebabkan keseluruhan kereta remuk teruk dan pemandunya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Bagaimanapun ketika kejadian tiada penumpang menaiki bas berkenaan,” ujarnya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan rakaman kamera papan pemuka daripada bas telah diperoleh bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |