Pemandu van, kekasih didenda RM17,000 dera budak 7 tahun

23 hours ago 5

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu van kilang dan teman wanitanya bersama-sama didenda RM17,000 dan diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 440 jam oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Tertuduh, R. Thayalan, 39, dan teman wanitanya, K. Mageswari, 41, didakwa mengurung dan meninggalkan kanak-kanak berusia tujuh tahun di dalam bilik air tanpa diberikan makanan dan minuman mencukupi sehingga mangsa mengalami malnutrisi dan kurus kering, dua tahun lalu.

Hakim Thalha Bachok@Embok Mok membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibacakan di mahkamah hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan pindaan itu, Thayalan yang juga bapa mangsa serta teman wanitanya secara bersama-sama didakwa telah meninggalkan mangsa tanpa persediaan pengawasan dan pemeliharaan berpatutan.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Pulai Jaya 1/2, Taman Pulai Jaya sekitar bulan Julai sehingga 12 Oktober 2023.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 33 (1)(a) Αkta Κanak-kanak 2001 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 33 (1) akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Maisarah Hassan manakala pasangan kekasih itu diwakili peguam P. Rajagunaseelan.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM8,000 kepada pemandu van kilang itu manakala wanita tidak bekerja itu didenda RM9,000 dan sekiranya gagal bayar denda, kedua-dua tertuduh diperintahkan dipenjara selama enam bulan.

Kedua-dua tertuduh juga diperintahkan melaksanakan kerja khidmat masyarakat masing-masing selama 200 jam dan 240 jam dan ia hendaklah dilaksanakan dalam tempoh enam bulan selepas perintah berkenaan dikeluarkan.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |