KUALA PILAH – Prebet sapu dikesan sanggup membiarkan pelajar sekolah berhimpit dalam sebuah kereta demi mengaut keuntungan tanpa memikirkan risiko terutama apabila berlaku kemalangan.
Situasi itu dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dalam operasi prebet sapu yang menggunakan kereta persendirian bagi mengambil dan menghantar pelajar sekolah di sekitar Kuala Pilah di sini baru-baru ini.
Wartawan Kosmo! yang turut menyertai operasi tersebut mendapati enam orang kanak-kanak terpaksa berhimpit dalam sebuah Perodua Alza yang digunakan untuk mengambil mereka dari sekolah.
Menurut pemandu lelaki berusia 30-an itu, dia sudah menjlankan perkhidmatan tersebut selama setahun dengan caj tambang RM100 sebulan bagi setiap pelajar.
“Saya tidak tahu perkara ini salah, pagi saya ambil dan hantar kanak-kanak ini ke sekolah manakala malam saya bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk tambah pendapatan,” katanya.
Malah, pemeriksaan lanjut mendapati cukai kenderaan yang dipandu lelaki itu sudah pun tamat tempoh bulan lalu.
Dalam pada itu, sebuah lagi kereta yang dipandu seorang wanita turut ditahan dalam operasi berkenaan selepas didapati membawa empat kanak- kanak berusia 10 hingga 16 tahun.
Bagaimanapun, ketika ditahan, wanita berusia 49 tahun itu mendakwa tidak menjalankan kegiatan prebet sapu dan hanya membawa anak dan dua anak saudaranya.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, prebet sapu ini dikesan sering menggunakan alasan menumpangkan anak jiran bagi mengelak ditahan.
“Mereka pada mulanya mungkin tidak berniat menjadikannya sebagai satu perniagaan, tapi berubah apabila melihat adanya permintaan.
“Kebiasaannya mereka ini akan mengenakan tambang yang lebih rendah berbanding pengusaha berlesen dan menjadi pilihan ramai ibu bapa,” katanya.
Sementara itu, Hanif Yusabra berkata, dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu, sebanyak 25 kenderaan telah dikenakan tindakan dalam operasi khas van haram. – KOSMO! ONLINE

18 hours ago
4














![[VIDEO] Terlepas ‘ajal’ sesaat, ramai tertanya apa amalan abang motosikal](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-18-at-9.11.15-PM.jpeg)


































