SUNGAI PETANI – Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga cedera dipukul rakan sekelas dalam kejadian di sebuah sekolah menengah, di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di mata sebelah kiri, sakit pada kepala dan muntah.
Pelajar terbabit mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.
Bapa mangsa yang merupakan seorang mekanik berkata, dia menerima panggilan telefon daripada seorang guru memintanya datang ke sekolah dan mengambil anaknya pulang.
“Sebaik tiba di sekolah, saya mendapati anak lelaki saya muntah-muntah, mengadu sakit pada kepala dan mata kirinya cedera dan bengkak.
“Anak saya memaklumkan dia dipukul oleh rakan sekelasnya. Saya terus membawanya ke HSAH untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani petang tadi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, difahamkan kejadian berlaku semasa anaknya berada di kelas selepas membuat pemeriksaan mata yang turut membabitkan semua pelajar di dewan sekolah berkenaan tengah hari tadi.
“Selepas selesai gilirannya, anak saya beritahu dia pulang ke kelas dan membaca buku sebelum beberapa rakan sekelasnya tiba dan mengganggunya.
“Bagi mengelak gangguan berterusan terhadapnya, anak saya itu menolak salah seorang rakannya menyebabkan beberapa orang daripada mereka mula menyerangnya,” dakwanya.
Dakwanya, dia juga difahamkan ketika kejadian terdapat seorang guru perempuan ganti di dalam kelas dan cuba meleraikan pergaduhan itu.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan yang dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya, beberapa pelajar ditahan sebaik bapa mangsa membuat laporan polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE