Pelabuhan Israel ditutup akibat gagal bayar hutang

5 hours ago 5

TEL AVIV – Operasi pelabuhan Eilat di Israel akan dihentikan bermula Ahad ini selepas ia gagal melunaskan hutang susulan penurunan mendadak dalam hasil yang disebabkan oleh serangan militia Houthi di Laut Merah, lapor laman berita Middle East Eye.

Akhbar perniagaan dan ekonomi Israel, The Calcalist melaporkan bahawa Majlis Perbandaran Eilat membekukan akaun bank pelabuhan itu berjumlah kira-kira 10 juta shekel (RM12.6 juta) ekoran kegagalannya membayar cukai.

Ia melaporkan bahawa pelabuhan itu mencatatkan kejatuhan mendadak dalam pendapatan akibat serangan Houthi ke atas kapal-kapal yang dikaitkan dengan Israel.

Pihak Berkuasa Perkapalan dan Pelabuhan Israel berkata, disebabkan krisis kewangan akibat konflik berterusan, Majlis Perbandaran Eilat memaklumkan kepada pihak pengurusan pelabuhan itu bahawa semua akaun banknya disita.

“Satu notis diterima daripada Pihak Berkuasa Perkapalan dan Pelabuhan menunjukkan pelabuhan Eilat dijangka ditutup dan semua aktivitinya dihentikan mulai Ahad ini,” kata laporan itu.

Pendapatan pelabuhan Eilat tahun lalu menjunam kepada hanya 42 juta shekel (RM53 juta), turun hampir 80 peratus daripada 212 juta shekel (RM268 juta) pada 2023.

Ia berlaku selepas penghantaran perkapalan dialihkan ke pelabuhan Ashdod dan Haifa di Laut Mediterranean.

Sumber di pelabuhan Eilat memberitahu The Calcalist bahawa penutupan itu melambangkan kemenangan ke atas pihak Houthi dan kerugian bagi ekonomi Israel.

Kumpulan Houthi di Yemen yang juga dikenali sebagai Ansar Allah mula menyerang Israel dan kapal-kapal yang dihantar ke negara haram itu di rantau Laut Merah.

Ia bertujuan bagi membantah perang Israel ke atas Gaza.

Sementara itu, ahli Parlimen Israel daripada parti sayap kanan Yisrael Beiteinu, Oded Forer memberitahu Middle East Eye bahawa adalah sesuatu yang memalukan bagi kerajaan Israel apabila pelabuhan itu ditutup. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |