PETALING JAYA – Peguam keluarga kepada Allahyarham Iman Zhafran, Muhammad Yazid Mohamad Salim dari firma Tetuan Yazid Tishondra, memaklumkan beliau bersama rakan kongsinya, Tishondra, dan bapa arwah telah mengadakan pertemuan dengan pegawai penyiasat kes berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, semalam.
Menurutnya, dalam pertemuan yang berlangsung sekitar pukul 9 malam itu, pihaknya dimaklumkan bahawa dua kertas siasatan berasingan telah dibuka oleh pihak polis .
Katanya, satu kes di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan berkaitan kes buli, dan satu lagi berhubung laporan kematian mengejut.
“Pegawai penyiasat memaklumkan bahawa kertas siasatan tersebut telah dikembalikan oleh Jabatan Peguam Negara dengan arahan untuk melengkapkan beberapa laporan yang masih tertunggak, termasuk laporan bedah siasat dari hospital, laporan kimia dari Jabatan Kimia, serta laporan lain seperti perbandingan tulisan tangan,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Tambahnya, pegawai penyiasat turut menjelaskan bahawa memandangkan kes ini melibatkan isu sensitif, proses menunggu laporan daripada pihak berwajib mungkin mengambil sedikit masa.
“Pegawai penyiasat akan bertemu pakar patologi serta membuat semakan dengan Jabatan Kimia hari ini bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai status laporan masing-masing,” katanya.
Jelas Muhammad Yazid lagi, pegawai penyiasat juga berjanji akan memaklumkan kepada bapa arwah mengenai jangkaan masa laporan-laporan tersebut dapat disiapkan.
Sementara itu, katanya, pihak firma guaman atas arahan bapa arwah turut memohon salinan laporan perubatan daripada Klinik Radhiyah serta laporan bedah siasat daripada Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.
Kosmo! sebelum ini melaporkan keluarga kepada murid tahun empat, Allahyarham Iman Zhafran Muhammad Hafizuddin, yang meninggal dunia pada 1 Oktober lalu di sebuah sekolah di Negeri Sembilan, mahu pihak pendakwaan membuka satu inkues bagi menentukan punca sebenar kematian kanak-kanak itu. – KOSMO! ONLINE

16 hours ago
5











![[VIDEO] Isteri Prince Syed masuk hospital tiada kaitan komplikasi bariatrik](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Dr.-Abdul-Gafoor-ketika-mengulas-mengenai-keadaan-Fatin-Syazwani-di-TikToknya-semalam..jpeg)






![[VIDEO] Pengawal sekolah dirai besar-besaran pada majlis persaraan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Tangkap-layar-memaparkan-hantaran-oleh-@Kak-Rock-Laa-di-laman-TikTok.jpeg)





























