SHAH ALAM – Pasangan suami isteri yang sebelum ini tular berhubung dakwaan bayi mereka ‘ditahan’ dalam peti mayat disarankan tampil kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi proses bantuan termasuk kategori asnaf gharimin atau orang berhutang.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, pihaknya ketika ini masih menjejak pasangan suami isteri tersebut termasuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang mengeluarkan kisah mereka.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya belum mendapat sebarang maklum balas mengenainya.
“Sekarang pasukan kami turut cuba mendapatkan maklumat -maklumat daripada hospital tersebut. Kalau pasangan itu tampil akan mempercepatkan proses dan akan dibantu mengikut kategori yang layak.
“Kalau pasangan itu tidak termasuk kategori fakir dan miskin, kami akan bantu peruntukkan asnaf gharimin iaitu golongan yang berhutang. Selain itu, akan melihat sama ada terdapat tabung kebajikan di hospital tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2024 di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui LZS tidak menerima sebarang aduan daripada pasangan suami isteri tersebut.
Justeru, Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof menyatakan pihaknya sedang mengesan pasangan itu yang dikatakan tidak mampu membayar bil berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd. Sabirin berkata, LZS mempunyai peruntukkan atau dana kepada hospital kerajaan dan beberapa hospital semi swasta setiap tahun dengan melihat kepada kategori dan kelayakannya.
“Jenis peruntukkan yang diberikan adalah mengikut keperluan di pihak hospital, kalau keperluan itu lebih, kita keluarkan lebih. Namun, ia berbeza bagi setiap orang yang mendapatkan khidmat dari sesebuah hospital,” katanya. -KOSMO! ONLINE.