Pakej umrah 1447H lebih murah berbanding musim sebelumnya – Andalusia

1 month ago 28

KUALA LUMPUR – Bagi musim umrah 1447H, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. akan memperkenal pakej baharu yang lebih murah berbanding musim sebelumnya.

Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Ida Riswana Idris berkata, pengenalan pakej baharu itu adalah selaras dengan kedudukan mata wang negara yang semakin kukuh ketika ini.

“Pada penghujung Disember nanti kita akan memperkenalkan pakej-pakej tersebut yang mana ada pakej yang bermula serendah RM5,990 untuk pakej penuh.

“Sebelum ini, pakej ini (RM5,990) adalah berharga RM6,390, namun disebabkan mata wang kita (Ringgit Malaysia) semakin mengukuh, jadi kita sasarkan untuk menawarkan harga yang lebih murah berbanding musim 1446H,” katanya kepada Kosmo!.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Reunion Universiti Malaya (UM) Batch 1979-1983 di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin.

Terdahulu, pada majlis berkenaan kira-kira 200 alumni berkenaan berkumpul bagi meraikan persahabatan yang telah terjalin sejak zaman kampus.

Bertemakan “Sementara Kita Masih Ada”, majlis tersebut turut mengadakan bacaan tahlil untuk rakan-rakan yang telah kembali ke rahmatullah serta diserikan dengan tayangan montaj aktiviti alumni tersebut sebelum ini.

Mengulas lanjut, Ida Riswana berkata, pada tahun hadapan juga, pihaknya turut menyasarkan untuk membuka kira-kira 20 cawangan baharu di seluruh negara.

Jelasnya, ketika ini syarikat pengendali haji dan umrah itu mempunyai 61 cawangan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, kita juga menyasarkan kira-kira 80,000 jemaah berdaftar dengan Andalusia pada musim 1447H.

“Alhamdulillah, ketika ini sudah lebih 2,000 jemaah mendaftar dengan kita bagi umrah musim 1447H yang akan bermula selepas selesai musim haji tahun depan,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |