PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengingatkan semua penjawat awam supaya lebih berdisiplin dan berhati-hati ketika menggunakan media sosial agar tidak menjejaskan imej perkhidmatan awam.
Presidennya, Datuk Dr. Haji Adnan Mat berkata, penjawat awam perlu menunjukkan tahap profesionalisme tinggi termasuk dalam ruang digital kerana mereka merupakan tonggak utama penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Katanya, sikap segelintir individu yang terlalu bebas memberi komen berbaur penghinaan, provokasi atau fitnah di media sosial boleh menjejaskan reputasi keseluruhan perkhidmatan awam. “Setiap penjawat awam terikat dengan Aku Janji serta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam. Tindakan yang melanggar etika boleh menyebabkan seseorang dikenakan tindakan tatatertib,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, media sosial sepatutnya digunakan untuk menyebarkan maklumat bermanfaat, bukannya menjadi medan menyerang individu, organisasi kerajaan mahupun pemimpin.
“Perlu diingat, komen atau hantaran yang tidak beretika bukan sahaja mencemar maruah sendiri, tetapi turut memberi kesan negatif terhadap imej perkhidmatan awam secara keseluruhan,” ujarnya.
Adnan turut menyeru agar semua penjawat awam lebih berhati-hati sebelum berkongsi sebarang maklumat bagi mengelakkan penyebaran berita palsu atau salah faham dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, penggunaan media sosial secara tidak terkawal boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kecekapan serta integriti penjawat awam.
“Maruah dan imej perkhidmatan awam adalah amanah besar yang mesti dijaga oleh setiap anggota tanpa kompromi,” katanya.
Tambah beliau, CUEPACS sentiasa menekankan kepentingan etika digital dalam kalangan penjawat awam bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan terus terpelihara.
“Gunakan platform media sosial untuk menyebarkan perkara positif, menyokong dasar kerajaan dan memperkukuh semangat kerja berpasukan,” katanya.
Beliau turut berharap semua agensi kerajaan dapat memberi penerangan berterusan kepada warga kerja masing-masing mengenai garis panduan dan peraturan penggunaan media sosial yang betul.
Terdahulu, telah tular beberapa insiden melibatkan penjawat awam yang dilihat mengeluarkan komen berunsur politik dan menghina pihak tertentu di platform media sosial serta mengaibkan unit beruniform hingga menyebabkan tindakan tugas diambil terhadap individu yang terlibat.- KOSMO! ONLINE.

7 hours ago
4

![[VIDEO] Hebat Bezza, jadi pilihan polis Papua New Guinea](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-04-at-21.02.41.jpeg)















![[VIDEO] Berpeluh dalam komuter 40 minit](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Untitled-design-2025-11-04T141912.331.png)































