SHAH ALAM – Perbuatan seorang pegawai bank gagal melaporkan rasuah sebanyak RM6,658 bagi dokumen penjanjian pembiayaan memakan diri apabila didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Abdul Rahman Yusof, 44, mengaku bersalah atas lima pertuduhan yang dihadapinya. Tertuduh turut diperintah menjalani hukuman penjara 30 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut lima pertuduhan itu, Abdul Rahman didakwa menerima wang berjumlah RM6,658 yang dimasukkan dalam akaun bank miliknya melalui akaun bank milik sebuah firma guaman sebagai upah kerana mencadangkan firma tersebut bagi penyediaan 11 dokumen penjanjian pembiayaan perumahan bernilai RM1.97 juta.
Kesalahan dilakukan di sebuah bank di Shah Alam antara 11 Jun 2020 dan 21 Okt 2021 dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.
Di mahkamah sama, Mohd. Ariff Firdaus Bakri, 38, yang juga pegawai bank mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan utama menerima suapan tunai RM2,469 bagi penyediaan dokumen dua pinjaman pembiayaan berjumlah RM822,834 pada 12 November 2020 dan 20 Ogos 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Dia juga didakwa atas dua lagi pertuduhan pilihan iaitu tidak melaporkan pemberian suapan itu pada tempat dan tarikh yang sama.
Jaminan RM10,000 diberikan berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport, tidak menganggu saksi pendakwaan dan melapor diri pada SPRM setiap bulan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Januari depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Natrah Fareha Rahmat dan Mohd. Ariff diwakili peguam R. Palaya.
Di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, pegawai bank, Ahmad Fathullah Idris, 38, dan bekas pegawai bank, Sameer Izzat Malik Fesal, 37, membuat pengakuan tidak bersalah.
Ahmad Fathullah didakwa atas dua pertuduhan termasuk pilihan menerima suapan RM1,325 bagi penyediaan penjanjian pembiayaan berjumlah berjumlah RM161,377. Sameer Izzat berdepan lapan tuduhan termasuk pilihan menerima suapan tunai RM5,149 untuk lima dokumen pinjaman pembiayaan berjumlah RM1.29 juta.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di cawangan bank sama di daerah ini antara 7 Januari 2021 hingga 3 Oktober 2022.
Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 kepada Ahmad Fathullah, manakala Sameer Izzat pula RM13,000 selain syarat tambahan melaporkan diri di Pejabat SPRM setiap bulan, larangan mengganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai. Sebutan semula kes pada 13 Januari 2026. – KOSMO! ONLINE

2 weeks ago
18

















































