Op Pusat Hiburan: 70 individu ditahan, polis rampas dadah bernilai lebih RM90,000

1 month ago 36

LUMUT – Seramai 70 pengunjung sebuah pusat hiburan di Taman Sentosa 2, Sitiawan dekat sini ditahan polis menerusi Op Pusat Hiburan yang dilaksanakan kira-kira pukul 3 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, operasi tersebut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal air kencing mendapati seramai 54 orang positif dadah iaitu 38 lelaki dan 16 perempuan dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pemeriksaan pihak polis di premis juga telah berjaya menangkap lapan lelaki India, lima lelaki Cina dan dua lelaki warga Vietnam bersama rampasan sepeket plastik lutsinat berisi daun-daun keping disyaki dadah jenis kanabis.

“Turut dirampas ialah dua keping aluminium foil pil eremin 5 dengan setiap keping mengandungi 10 biji pil, sepeket plastik lutsinar berisi satu tiub straw yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis ketamine dan sepeket plastik lutsinar berisi dua biji pil ecstasy,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hasbullah, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, susulan daripada penahanan lima lelaki Cina di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, pihak polis telah membuat serbuan di sebuah premis di Taman Sentosa 2 dan berjaya melakukan rampasan dadah.

“Pihak polis berjaya merampas satu beg silang mengandungi 31 paket plastik berisi serbuk disyaki mengandungi dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat 545 gram (g).

“Terdapat juga sekeping aluminium foil mengandungi lima biji pil eremin 5 (1.3g), dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM91,125. Kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurut Hasbullah, pihak polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Honda Civic berwarna putih dengan anggaran nilai sitaan ialah RM40,000.

“Kesemua tangkapan telah dibawah ke Mahkamah Majistret Seri Manjung dan permohonan reman dibenarkan selama tiga hingga tujuh hari,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |