Obesiti punca rawatan IVF gagal

2 months ago 61

MASALAH obesiti atau kegemukan dalam kalangan rakyat Malaysia kini semakin membimbangkan.

Berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, sebanyak 54.4 peratus rakyat dewasa Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan.

Obesiti jika tidak dikawal boleh menjadi punca kepada berlakunya masalah kesihatan lain.

Bukan itu sahaja, obesiti juga dikenal pasti sebagai antara penyebab kegagalan rawatan kesuburan melalui kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) dalam kalangan pasangan yang sedang berusaha untuk hamil atau dikenali sebagai TTC (trying to conceive).

Ini kerana, berat badan berlebihan pasangan sama ada ibu atau bapa dan kedua-duanya akan mengurangkan kualiti telur serta sperma dihasilkan.

Perunding Obstetrik & Ginekologi di Kensington Green Specialist Centre (KGSC) di Johor, Dr. Sharifah Najwa Syed Amin Husaini berkata, obesiti adalah penyakit kronik kompleks yang memerlukan campur tangan perubatan secara betul.

“Masalah obesiti tidak lagi dipandang sebagai kelemahan seseorang sehingga mengundang stigma dan ‘body shaming’.

“Hakikatnya, obesiti menjadi wabak yang menjejaskan masyarakat kita dan meningkatkan risiko mendapat penyakit lain termasuk jantung, darah tinggi, kencing manis dan berisiko mendapat kanser,” katanya.

Memandangkan Malaysia ‘menjuarai’ kedudukan negara paling ramai penduduk obesiti di Asia Tenggara, kebimbangan Dr. Sharifah Najwa tertumpu kepada peningkatan bilangan pasangan yang mengalami obesiti dalam mendapatkan rawatan kesuburan.

DR. SHARIFAH NAJWA

Menurutnya, kajian di seluruh dunia menunjukkan bahawa obesiti meningkatkan hormon leptin yang dihasilkan dalam tisu lemak.

“Leptin mengganggu keseimbangan hormon dan menyebabkan kesuburan berkurangan.

“Dalam senario lain, wanita yang menghidap sindrom ovari polisistik (PCOS) juga mudah mengalami berat badan berlebihan hingga menghalang ovulasi atau tempoh subur,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr. Sharifah Najwa menjelaskan, apabila pasangan mula menghadapi cabaran untuk hamil secara semula jadi, mereka beralih kepada rawatan kesuburan.

Secara amnya, doktor mengesyorkan pasangan untuk mengekalkan indeks jisim badan (BMI) antara 19 dan 30.

“Penghidap obesiti wanita yang menjalani IVF mungkin memerlukan dos gonadotropin lebih tinggi kerana ia memberi tindak balas lemah kepada rangsangan ovari, sekali gus mengurangkan penuaian sel ‘oocyte’ dan menyukarkan penempelan embrio.

“Sementara itu, penghidap obesiti lelaki didapati menghasilkan sperma yang kurang pekat dan tidak aktif. Akhirnya, simptom ini boleh merosakkan asid deoksiribonukleik (DNA) dalam sperma,” terangnya.

Pada masa sama, Dr. Sharifah Najwa menggesa pasangan TTC mengubah cara hidup masing-masing demi kesihatan secara keseluruhannya, sekali gus mampu meningkatkan peluang hamil.

Pengurusan berat badan yang baik adalah mengamalkan diet seimbang dengan pengambilan protein dan serat lebih tinggi, di samping mengurangkan pengambilan gula, tenusu, garam serta bahan-bahan diproses.

Ini diikuti dengan kekerapan melakukan aktiviti fizikal untuk membantu penurunan berat badan bagi mengekalkan kesejahteraan umum.

Rawatan perubatan termasuk ubat anti obesiti dan pembedahan bariatrik boleh dipertimbangkan untuk membantu pasangan mencapai penurunan berat badan serta meningkatkan kesuburan mereka.

Bagaimanapun, langkah itu perlu mendapatkan perundingan daripada doktor terlebih dahulu untuk membantu mencapai berat badan sihat sebelum hamil.

“Pasangan TTC di Malaysia memperuntukkan sejumlah besar pelaburan untuk rawatan kesuburan termasuk IVF.

“Sesetengah pasangan mungkin memerlukan lebih daripada satu kitaran rawatan untuk meningkatkan peluang mereka untuk hamil.

“Oleh itu, komitmen mereka adalah penting untuk usaha tersebut sebagaimana kegigihan doktor yang membantu dalam perancangan keluarga mereka,” katanya.

Walaupun sesetengah wanita yang mempunyai berat badan berlebihan boleh hamil secara semula jadi, namun keadaan obesiti berisiko meningkatkan komplikasi lain seperti diabetes semasa hamil, tekanan darah tinggi, preeklampsia atau bekuan darah.

Dalam kes yang lebih serius, ia boleh mengakibatkan keguguran kandungan atau kelahiran mati.

Kesemua komplikasi kesihatan ini boleh menjejaskan kesihatan ibu untuk hamil dan melahirkan anak secara semula jadi pada masa hadapan.

Jika obesiti tidak diuruskan dengan baik, anak yang dilahirkan daripada pasangan ibu bapa yang obesiti berisiko mendapat penyakit tidak berjangkit (NCD) termasuk penyakit jantung apabila mereka dewasa kelak.

Read Entire Article
Pertanian | | | |