Niat perlu ikhlas di Tanah Suci

6 hours ago 7

MADINAH – Niat ikhlas untuk menyantuni dhuyufurrahman menjadi sumber kekuatan buat dua pemuda bagi memohon sebagai petugas Tabung Haji (TH) di Tanah Suci.

Menurut seorang jururawat lelaki, Muhammad Faris Abu Hasan, 36, dia sudah menyimpan hasrat untuk menjadi petugas kesihatan sejak tahun 2014.

“Sebenarnya, sejak belajar diploma kejururawatan di Kolej Poly-Tech Mara lagi saya sudah dengar untuk jadi petugas TH di Tanah Suci. 

“Cuma pada waktu itu masih belum ada hasrat untuk ke sana kerana syarat-syarat ketat seperti perlu memiliki sijil post basic, advanced cardiac life support (ACLS) dan Basic Life Support (BLS),” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dia yang bertugas di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor berkata, bukan mudah untuk memiliki sijil-sijil tersebut.

“Tugas ini agak mencabar tetapi dengan niat serta hati yang ikhlas untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan selain memberi perawatan terbaik kepada pesakit.

“Nilai-nilai kerja sebagai jururawat juga menekankan konsep sabar, ikhlas itu sendiri. Apabila terpilih menjadi petugas sekali gus dhuyufurrahman pada musim ini perasaannya bercampur-baur,” katanya.

Dalam pada itu, Kerani Pentadbiran dan Haji TH Cawangan Kemaman, Aizal Muhammad Nazim Sajari, 34, berkata, dia menggenggam pesanan yang dititipkan ibu bapanya agar memperbetulkan niat di Tanah Suci.

Aizal Muhammad Nazim yang bertugas di BMO, Tabung Haji di Madinah perlu peka dengan sebarang data dari semua bahagian.

“Tugasan saya di sini agak mencabar sebagai petugas Bilik Maklumat Operasi yang menyelaraskan maklumat serta apa-apa data melibatkan penerbangan, kewangan, kesihatan dan bahagia lain untuk dimaklumkan kepada pihak pengurusan.

“Saya pegang nasihat ibu bapa saya, bekerjalah kerana Allah dan sentiasa perbetulkan niat,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.

Sebelum ini, Aizal Muhammad Nazim berpengalaman dalam menguruskan jemaah haji di tanah air.

“Ketika menerima tawaran sebagai petugas haji, saya rasa terharu. Tugasan ini amat mencabar dan sebolehnya saya mengajar untuk diri supaya bijak mengawal emosi,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |