GEORGE TOWN – Kira-kira 30 rakyat Malaysia dikesan bakal menjadi mangsa penipuan oleh satu sindiket dipercayai didalangi warga Taiwan selepas ditawarkan bekerja sebagai pelayan di Kemboja dengan pendapatan lumayan mencecah RM30,000 sebulan.
Perkara tersebut didedahkan Ketua Skuad Ketua Skuad Bentras, Wong Kin Wai selepas pihaknya dimaklumkan mengenai ‘hajat’ kesemua mangsa berusia 20 hingga 40 tahun itu yang akan berlepas ke negera terbabit melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), esok.
Mangsa yang dikatakan berasal dari Pulau Pinang dan Kuala Lumpur itu majoritinya berketurunan Melayu.
Kin Wai berkata, satu laporan polis telahpun dibuat di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas pada pukul 3.40 petang tadi bagi tujuan menghalang perlepasan kesemua mangsa ke negara berkenaan.
Menurutnya, laporan sama akan dibuat kepada pihak imigresen termasuk menyerahkan nama-nama individu terbabit yang telah dikenal pasti untuk tindakan selanjutnya.
“Kami ada terima maklumat mengenai perkara ini dan memaklumkan sindiket hanya menyasarkan rakyat Malaysia terutama yang tinggal di tengah bandar sebagai mangsa.
“Malah, mangsa-mangsa terbabit akan didera dan diberi tugasan bagi memperdaya serta menipu rakyat Malaysia sebaik tiba di sana nanti.
“Kami nasihat kepada mangsa-mangsa terbabit agar hentikanlah hasrat untuk bekerja dengan tawaran gaji besar di Kemboja. Jangan terpedaya dengan janji palsu, tawaran lumaran yang akhirnya merana diri.
“Kesemua mereka belum tahu yang sebenarnya bakal menjadi mangsa kekejaman oleh sindiket terbabit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), petang tadi.
Dalam pada itu, katanya lagi, pihaknya juga akan membuat satu surat rasmi kepada pihak imigresen KLIA bagi melancarkan satu ‘red alert” bagi aktiviti keluar negara melibatkan individu-individu berkenaan dengan siasatan dan pengesahan penerbangan.
“Malah, pihak kami meminta agar pihak berkuasa terbabit juga memantau penerbangan balik rakyat Malaysia yang keluar ke Kemboja sekali gus tidak membenarkan visa jangka masa panjang kepada rakyat Malaysia yang ingin ke negara terbabit,” ujarnya.
Tambah beliau, satu talian kecemasan telah dilancarkan bagi mangsa atau sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi ke talian: 011-39941673. -KOSMO! ONLINE