LANGKAWI – “Saya terkejut bila nampak wanita berbaju merah hanyut di laut dengan berpaut pada dua keping papan. Dia langsung tidak menjerit meminta tolong, mungkin terlalu lemah.”
Demikian kata nelayan, Muhd. Azham Azmi, 34, yang menemui seorang migran wanita etnik Rohingya ketika keluar menangkap ikan kira-kira pukul 6.50 petang, Sabtu lalu.
Katanya, semasa melabuh pukat di kawasan perairan dekat Tanjung Belua, dia ternampak satu objek berwarna merah terapung dalam keadaan tidak bergerak.
“Kami terus mendekati objek tersebut dan terkejut apabila mendapati ia adalah seorang wanita berpaut pada papan. Bila nampak kehadiran kami, barulah dia bergerak sedikit.
“Saya dan dua lagi nelayan terus naikkan mangsa ke dalam bot serta berikannya minum dan makan kek, tetapi dia hanya minum sedikit-sedikit, mungkin kerana susah hati. Kami juga beri selimut dan biarkan dia berehat,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Menghulu di sini hari ini.
Ujarnya, daripada rupa mangsa, dia percaya wanita berusia lingkungan 40-an itu adalah etnik Rohingya.
“Semasa dalam bot dia cuba menceritakan sesuatu, tetapi kami tidak faham bahasa pertuturannya, namun dia memberi isyarat supaya kami menghantarnya ke daratan.
“Tempat dia terapung tidak jauh dari daratan iaitu kira-kira dua batu nautika, tetapi kawasan itu berbatu dan berbahaya untuk naik. Tiada barangan lain ditemui bersama mangsa,” ujarnya.
Menurutnya lagi, dia kemudian menghubungi Maritim Malaysia (APMM) dan bot agensi berkenaan tiba untuk mengambil mangsa kira-kira setengah jam kemudian.
Katanya, dia percaya bot dinaiki mangsa karam ketika cuba memasuki perairan negara.
“Waktu itu kami belum tahu ada insiden bot membawa migran karam di perairan Thailand selain keadaan semakin gelap. Kami juga tidak nampak ada mangsa lain di kawasan sekitar,” jelasnya.
Wanita Rohingya terbabit merupakan antara 13 migran warga Myanmar dan Bangladesh yang ditemukan dalam keadaan hidup di perairan ini sejak Sabtu lalu.
Selain itu, sebanyak 12 migran termasuk dua kanak-kanak ditemui sudah meninggal dunia di perairan ini, manakala sembilan lagi mayat dijumpai pihak berkuasa Thailand di perairan negara jiran tersebut. – KOSMO! ONLINE

2 weeks ago
18

















































