Negara rugi RM933.4 juta akibat banjir tahun 2024

1 month ago 25

PETALING JAYA – Jumlah keseluruhan kerugian akibat banjir pada tahun 2024 dianggarkan bernilai RM933.4 juta (2023: RM755.4 juta) dengan Kelantan, Kedah dan Terengganu paling terjejas.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah tersebut bersamaan 0.05 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal (2023: 0.04 peratus).

Mohd. Uzir berkata, kerugian terbesar dicatatkan bagi tempat kediaman, melonjak kepada RM372.2 juta (2023: RM168.3 juta), diikuti aset awam dan infrastruktur sebanyak RM303.4 juta (2023: RM380.7 juta).

Ujarnya, kerugian dalam sektor pertanian turut meningkat kepada RM185.2 juta (2023: RM120.6 juta), manakala premis perniagaan mencatatkan kerugian sebanyak RM54.1 juta (2023: RM53.2 juta).

“Sementara itu, kerosakan kenderaan berjumlah RM17.3 juta (2023: RM22.3 juta), manakala sektor pembuatan mencatatkan kerugian paling kecil, iaitu RM1.2 juta (2023: RM10.3 juta),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, dari segi tempat kediaman, Kelantan mencatatkan kerugian terbesar sebanyak RM139.0 juta, diikuti Terengganu dengan RM103.1 juta dan Kedah RM54.0 juta.

Katanya, di Kelantan, daerah paling terjejas ialah Pasir Mas dengan kerugian berjumlah RM46.2 juta, diikuti Tumpat (RM31.7 juta) dan Kota Bharu (RM19.2 juta).

“Sementara itu, di Terengganu, Besut merekodkan kerugian tertinggi bagi tempat kediaman berjumlah RM38.4 juta, diikuti Setiu (RM16.1 juta) dan Kemaman (RM14.2 juta).

“Bagi Kedah, Kota Setar dan Kubang Pasu mencatatkan kerugian tertinggi, masing-masing RM22.0 juta dan RM9.4 juta, diikuti Baling dengan RM6.9 juta,” ujarnya.

Menurut Mohd. Uzir lagi, Kelantan menanggung kerugian premis perniagaan terbesar, berjumlah RM27.1 juta, diikuti Terengganu sebanyak RM16.4 juta dan Kedah sebanyak RM4.3 juta.

Beliau berkata, di Kelantan, Pasir Mas dan Kota Bharu mengalami impak kewangan yang paling ketara, masing-masing dengan kerugian RM9.8 juta, manakala Tumpat mencatatkan kerugian RM5.0 juta.

“Di Terengganu, Besut merekodkan kerugian tertinggi sebanyak RM6.4 juta, diikuti Setiu (RM2.9 juta) dan Dungun (RM1.9 juta).

“Sementara itu, di Kedah, Kota Setar merekodkan kerugian tertinggi sebanyak RM2.8 juta, diikuti Baling dan Pokok Sena, masing-masing RM0.8 juta dan RM0.4 juta,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata Terengganu mencatatkan kerugian kerosakan kenderaan tertinggi berjumlah RM5.8 juta, diikuti dengan Kelantan sebanyak RM4.0 juta dan Kedah sebanyak RM2.1 juta.

Ujar beliau, di Terengganu, daerah yang paling terjejas ialah Besut (RM1.4 juta), diikuti dengan Kemaman (RM1.0 juta), dan Dungun (RM0.8 juta).

“Bagi Kelantan, Tumpat merekodkan kerugian kenderaan tertinggi berjumlah RM1.8 juta, diikuti Pasir Mas (RM1.0 juta) dan Kota Bharu (RM0.5 juta). Sementara itu, di Kedah, Kota Setar mengalami kerugian tertinggi sebanyak RM0.9 juta, diikuti Pokok Sena (RM0.5 juta) dan Baling (RM0.3 juta),” katanya.

Bagi sektor pembuatan, Mohd. Uzir berkata, Kelantan mencatatkan kerugian sebanyak RM1.1 juta, dengan Pasir Mas mengalami impak tertinggi berjumlah RM1.0 juta, manakala Pasir Puteh dan Tumpat merekodkan kerugian lebih rendah, masing-masing di bawah RM100,000. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |