MELAKA – Naib Canselor, Ketua Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Kaunselor Kolej Universiti Manipal Malaysia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan membuat hantaran palsu terhadap seorang pelajar institusi itu, Jun lalu.
Tertuduh, Prof. Dr. G. Jayakumar, 63; K. Dachaini, 40 dan J. Lavanyaa, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan terhadap Jayakumar dan Lavanyaa, tertuduh didakwa dengan cara berpakat telah bersubahat dengan Dachaini dalam melakukan hantaran palsu terhadap seorang pelajar lelaki berusia 23 tahun menggunakan kemudahan rangkaian emel rasmi pentadbiran hal ehwal pelajar Kolej Universiti Manipal Malaysia yang boleh diakses melalui pautan [email protected].
Bagi perbuatan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Mengikut pertuduhan terhadap Dachaini, dia didakwa dengan menggunakan kemudahan rangkaian emel rasmi pentadbiran hal ehwal pelajar Kolej Universiti Manipal Malaysia yang boleh diakses melalui pautan [email protected] secara sedar telah memulakan penghantaran komunikasi yang palsu dengan niat sama.
Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh pada pukul 5.44 petang di Kolej Universiti Manipal Malaysia pada 6 Jun 2025.
Difahamkan, emel tersebut memaklumkan keputusan pihak universiti berkenaan untuk tidak membenarkan mangsa mewakili institusi itu dalam mana-mana pertandingan e-sukan.
Keputusan itu dibuat susulan dapatan siasatan dalaman yang dilakukan berhubung dakwaan kemenangan diraih pelajar terbabit sebelum ini dalam pertandingan Mobile Legend dipercayai disebabkan penglibatan pihak luar.
Emel tersebut boleh diakses oleh para pelajar di institusi berkenaan, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati kepada mangsa dan keluarganya kerana ia dianggap telah mencemarkan imej dan memalukan dirinya.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dikenakan terhadap tertuduh beserta syarat tambahan iaitu melapor diri sekali setiap bulan di balai polis berhampiran dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Tertuduh yang diwakili Peguam Harvinderjit Singh dan Farhan Read bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan kesemua mereka masing-masing menanggung ahli keluarga dan telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dilakukan.
Mahkamah kemudian membenarkan Jayakumar dan Dachaini diikat jamin sebanyak RM15,000, manakala Lavanyaa RM9,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.
Sebuatan semula kes ditetapkan pada 27 Oktober depan. – KOSMO! ONLINE