Nabil Ahmad lebih banyak berzikir lepas diuji kontroversi

3 days ago 9

PETALING JAYA –  Pengacara dan penyampai radio, Nabil Ahmad hanya menumpukan kepada ibadah puasa selepas berdepan kontroversi bersama dua lagi rakan penyampai Era FM, Azad Jazmin dan Radin Amir Affendy berhubung dakwaan mempersendakan upacara agama Hindu.

Kata Nabil atau nama sebenarnya, Ahmad Nabil Ahmad apa yang berlaku menjadi peluang buatnya menggandakan ibadah dan mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa.

“Apa yang dapat saya katakan, semua pihak kena ambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

“Pengajarannya, kami juga kena lebih berhati-hatilah membuat video parodi pada masa akan datang,” katanya.

Kata Nabil, 42, lagi, dia lebih banyak berzikir dan buat amal sepanjang tempoh direhatkan.

“Saya percaya tiada perkara yang tidak baik. Mungkin daripada mata kasar kelihatan seperti tak baik, tetapi ada kebaikan tidak diketahui.

“Jadi, bersangka baiklah kepada Allah, pasti perkara baik-baik akan menyusul, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, pihaknya tetap menyambung kontrak Nabil biarpun kini dihambat kontroversi.

“Jangan risau, kontrak Nabil tetap disambung, Semua orang buat silap dan Nabil pun sudah meminta maaf. Saya melihat Nabil seorang yang jujur dan ikhlas.

“Saya dan Nabil sudah 15 tahun bersahabat. Ketika berdepan kesukaran dalam perniagaan ketika pandemik Covid-19, Nabil datang membantu saya. Dia adalah sahabat sejati,” katanya.

Terdahulu, tiga penyampai berkenaan didakwa mencetus kontroversi apabila mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |