Anak lemas masih hidup, bapa terlepas cakap dia dah ‘tiada’- Exco

10 hours ago 4

MELAKA – Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan lemas selepas mandi-manda di kolam renang sebuah rumah inap di Taman Kota Syahbandar, semalam masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Datuk Kalsom Noordin berkata, mangsa kini dalam keadaan kritikal dan dirawat menggunakan bantuan mesin pernafasan kerana kehilangan fungsi otak (otak mati).

Katanya, kenyataan bapa mangsa yang sebelum ini memaklumkan bahawa kanak-kanak tersebut telah meninggal dunia mungkin disebabkan rasa trauma dan kecewa dengan tragedi tersebut.

“Mungkin sejak hari pertama (kejadian lemas) bapa dia berasa trauma dan kecewa lalu terlepas cakap (anak sudah meninggal), kita harap tak dipanjangkan lagi isu ini.

“Doktor juga memberitahu anak ini sudah tiada harapan dan bergantung pada bantuan mesin pernafasan kerana otaknya telah mati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi kanak-kanak tersebut di PICU Hospital Melaka, di sini, hari ini.

Tambahnya, satu prosedur akan dilakukan esok bagi menentukan rawatan dan keputusan terbaik untuk kanak-kanak tersebut.

Mengulas lanjut beliau berkata, kedua ibu dan bapa kanak-kanak tersebut turut meminta agar isu tersebut tidak dipanjangkan, sebaliknya mendoakan agar keajaiban diberikan kepada anak mereka.

“Bapanya telah reda atas apa yang berlaku dan terima seadanya, namun trauma itu tetap ada.

“Saya harap insiden ini dijadikan pengajaran kepada semua agar mana-mana kolam renang mempunyai pengawal keselamatan (lifeguard) kerana anak-anak ini sentiasa teruja untuk mandi-manda, dalam kes ini mangsa dikatakan sekelip mata telah masuk ke kolam dewasa,” ujarnya.

Kosmo! ini melaporkan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan lemas ketika mandi-manda di kolam sebuah rumah inap di Taman Kota Syahbandar semalam disahkan meninggal dunia selepas 16 jam bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Melaka.

Berita itu dikongsikan sendiri oleh bapanya menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.

Ujarnya, jenazah anaknya itu akan dibawa pulang ke Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor untuk disemadikan.

“Doakan cahaya mata kami ditempatkan bersama-sama orang-orang beriman. Allah lebih sayangkannya, mohon doa semua sahabat permudahkan urusan kami.

“Jika tiada halangan jenazah akan dibawa pulang ke Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor untuk dikebumikan di sana,” tulisnya menerusi di TikTok. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |