MTUC Sambut Baik Pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan

12 hours ago 4

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik langkah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 [Akta 800] di Dewan Rakyat hari ini.

Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor dalam satu kenyataan berkata, pembentangan RUU itu oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh sistem perlindungan sosial untuk golongan pekerja di negara ini.

Menurut beliau, pindaan tersebut bakal memberi manfaat besar kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan memastikan mereka terus menerima bantuan sewajarnya melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang diuruskan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Langkah KESUMA dan PERKESO memperluas perlindungan sosial ini amat dialu-alukan kerana ia mampu membantu lebih ramai pekerja yang kehilangan pekerjaan untuk terus bertahan dan bangkit semula,” katanya.

Katanya lagi, antara penambahbaikan yang diperkenalkan termasuk peningkatan kadar faedah sedia ada dan pengenalan faedah baharu iaitu Elaun Bantuan Mobiliti (EBM).

“Faedah ini akan memudahkan pekerja untuk memulakan pekerjaan baharu di lokasi lain, sekali gus membantu mereka menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran kerja semasa yang semakin mencabar,” ujarnya.

Tambah Abdul Halim, MTUC turut menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam memastikan kebajikan pekerja di negara ini sentiasa terpelihara.

“MTUC akan sentiasa berdiri bersama pekerja agar mereka yang kehilangan pekerjaan dapat dibantu dan dilindungi sebaiknya supaya berpeluang kembali ke alam pekerjaan dengan lebih bersemangat,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan terhadap nasib golongan pekerja melalui usaha berterusan memperkukuh dasar perlindungan sosial negara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |