MPHS arah tiga premis makanan ada najis lipas, tikus ditutup

6 hours ago 3

PETALING JAYA – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengarahkan tiga premis makanan ditutup serta-merta kerana gagal mematuhi piawaian kebersihan dalam Ops Suci dan Ops Target pada 28 dan 29 April lalu.

MPHS menerusi satu kenyataan berkata, operasi pertama telah memeriksa enam premis makanan yang beroperasi pada waktu malam.

Ujarnya, pemeriksaan mendapati dua premis melanggar pelbagai peraturan kebersihan dan keselamatan makanan dan diarah tutup selama 14 hari.

“Antara kesalahan dikesan adalah terdapat najis tikus dan lipas selain pengendali makanan tanpa sijil latihan serta tidak menerima suntikan tifoid.

“Selain itu, pengurusan bahan mentah yang tidak sistematik, peti sejuk yang tidak diselenggara, dan pembuangan sisa ke dalam longkang awam juga merupakan antara sebab premis ini ditutup,” katanya.

Menurut MPHS, terdapat premis didapati menyimpan bahan makanan di kawasan tempat sampah, gagal mengawal kehadiran lalat, serta tidak menyelenggara sistem pelepasan asap.

“Keadaan dapur yang kotor, peralatan memasak yang tidak bersih serta pengendali makanan yang tidak memakai pakaian pelindung dan kasut bertutup turut menjadi antara punca tindakan diambil,” ujarnya.

Mengulas lanjut, MPHS berkata, sebanyak 23 notis kompaun kesalahan dikeluarkan melibatkan sembilan kompaun oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Establisymen Makanan 2007.

“Sebanyak 11 notis kompaun lagi dikeluarkan oleh Jabatan Penguat kuasa MPHS dan tiga kompaun oleh Jabatan Bangunan MPHS,” katanya.

Sementara itu, menerusi Ops Target, sebuah lagi premis turut diarahkan tutup kerana pelanggaran kebersihan serius.

“Sebanyak empat kompaun kesalahan dikeluarkan dalam operasi ini iaitu dua notis kompaun oleh JPSPPA di bawah UUK Establisymen Makanan 2007 dan dua lagi kompaun oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Selangor di bawah Akta Makanan 1983,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |