PETALING JAYA – MNRB Holdings Berhad (MNRB) mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM280.7 juta naik sebanyak 51.8 peratus daripada RM184.9 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2025 (H1 TK2026).
Peningkatan ini dipacu oleh pertumbuhan hasil insurans/takaful, amalan pengunderaitan berhemat, pengalaman tuntutan yang menggalakkan dan hasil pelaburan yang bertambah baik.
Hasil insurans/takaful meningkat 11.5 peratus kepada RM1.7 bilion (H1 TK2025: RM1.5 bilion), dipacu oleh pengembangan berterusan segmen takaful am dan retakaful.
Hasil perkhidmatan insurans/takaful meningkat 24.6 peratus kepada RM271.5 juta (H1 TK2025: RM217.9 juta), terutamanya disumbangkan oleh unit reinsurans, mencerminkan prestasi pengunderaitan yang lebih kukuh dan pertumbuhan portfolio yang menguntungkan.
Prestasi pelaburan kekal sebagai pemacu utama pendapatan, dengan hasil pelaburan meningkat kepada RM326.7 juta iaitu 2.4 kali lebih tinggi berbanding RM135.1 juta setahun sebelumnya.
Peningkatan ini didorong oleh keuntungan kukuh daripada peruntukan ekuiti Kumpulan hasil daripada pendapatan ekuiti yang bertambah baik dan sentimen pasaran yang positif.
Pulangan pendapatan tetap juga kekal menggalakkan disokong oleh persekitaran kadar faedah yang semakin longgar.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata, keputusan separuh pertama ini mencerminkan kekuatan pelaksanaan strategik dan daya tahan model perniagaan syarikat.
Pertumbuhan dua digit merentasi metrik utama menunjukkan keberkesanan portfolio pelbagai kami, pengunderaitan terpilih dan pengurusan modal yang berdisiplin.
“Kami terus memajukan agenda transformasi digital dan kelestarian kami, mengukuhkan komitmen terhadap inovasi, kecekapan, keutamaan pelanggan dan penciptaan nilai jangka panjang.
“Peningkatan langganan kepada platform layan diri dalam talian kami menunjukkan penglibatan pelanggan yang lebih kukuh dan keyakinan yang semakin meningkat terhadap keupayaan digital Kumpulan.
“Selain itu, kami juga mahu mengintegrasikan pertimbangan ESG yang disasarkan ke dalam operasi dan keputusan pelaburan menyokong aspirasi kami untuk mencapai status Organisasi Karbon Sifar Bersih menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan.
Mengenai prestasi segmen perniagaan, Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re), cabang reinsurans/retakaful Kumpulan, mencatatkan peningkatan PAT sebanyak 46.9 peratus kepada RM206.5 juta (H1 TK2025: RM140.6 juta), disokong oleh hasil perkhidmatan insurans/takaful yang lebih kukuh, pengalaman tuntutan yang menggalakkan dan pendapatan pelaburan yang lebih tinggi.
Hasil meningkat tiga peratus kepada RM1.1 bilion, didorong oleh pertumbuhan dalam perniagaan retakaful keluarga dan fakultatif.
Bagi segmen takaful Kumpulan, Takaful Ikhlas General Berhad dan Takaful Ikhlas Family Berhad, yang dikenali sebagai Takaful Ikhlas, mencatatkan PAT gabungan sebanyak RM53.6 juta dalam H1 TK2026 (H1 TK2025: RM35.7 juta), mewakili peningkatan 50.1 peratus.
Peningkatan ini didorong terutamanya oleh hasil perkhidmatan takaful yang lebih tinggi, diterajui oleh perniagaan takaful am, dan prestasi pelaburan yang lebih kukuh.
Hasil Takaful Ikhlas meningkat 23.7 peratus kepada RM844.7 juta (H1 TK2025: RM682.7 juta), dipacu oleh pertumbuhan kukuh dalam segmen takaful am, khususnya pengembangan portfolio motor dan kebakaran melalui saluran agensi dan langsung, termasuk perkongsian digital dan platform dalam talian.
Ini turut disokong oleh pertumbuhan portfolio Group Credit Term (GCTT), Group Term (GTT) dan Group Hospitalisation (GHS) daripada segmen takaful keluarga.
Bagi pelan perancangan masa depan, , Kumpulan kekal fokus dalam melaksanakan keutamaan strategiknya untuk memacu pertumbuhan dan keuntungan mampan sambil mengekalkan kedudukan modal yang kukuh.
“MNRB akan terus menegakkan disiplin pengunderaitan, meningkatkan kecekapan operasi, mengekalkan portfolio perniagaan yang seimbang dan memperkukuh pengurusan risiko untuk merebut peluang merentasi segmen perniagaannya.
“Dengan keutamaan ini, Kumpulan berada dalam kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran pasaran dan menyampaikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

1 week ago
17














![[VIDEO] ‘Sedihnya…Tok Wan Jagung Gurun dah tinggalkan kita’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/tok-wan-jagung.jpeg)


































