‘Mister kita nak ke mana?’ Murid tak sangka bapa meninggal dunia

3 weeks ago 16

PETALING JAYA – Seorang guru berkongsi detik sebak ketika membawa dua murid ke Hospital Putrajaya untuk melihat jenazah bapa dalam keadaan dua beradik itu tidak mengetahui kejadian yang menimpa ketua keluarga mereka.

Cikgu Sharom dari sebuah sekolah di Dengkil, Selangor berkata, dua beradik itu teruja ketika dibawa masuk ke dalam kereta dan bertanya mereka hendak ke mana. Mereka merupakan murid tahun satu dan lima.

Katanya, bapa mereka Syed Shaufira Syed Sahari, 46, meninggal dunia dalam satu kemalangan di jalan menuju Bandar Sunsuria, Dengkil apabila motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta pada pagi 19 Mac lalu.

“Saya menahan sebak dan tahan air mata daripada jatuh apabila si adik beriya bercerita ibu telah membeli baju raya ayah. Allahuakbar saya tidak sampai hati hendak beritahu apa yang telah terjadi kepada arwah bapanya.

“Si abang pula pelik apabila saya tidak terus pandu ke rumah mereka di Dengkil tetapi sebaliknya ke Hospital Putrajaya. Dia tanya kita nak ke mana sebenarnya ni,” katanya.

Menurut Shahrom yang mesra dengan panggilan Mister dalam kalangan murid, dia meminta maaf kerana tidak terus terang sebaliknya memberitahu ada sedikit urusan di situ.

Tambahnya, sebaik tiba di hospital, si abang terdiam apabila melihat air matanya mula bergenang dan mereka mengetahui hal sebenar apabila diberitahu oleh ibu mereka ketika masuk ke dalam bilik jenazah.

“Ya Allah, aku mohon padaMu, Kau peliharalah anak-anak syurga ini dan temukanlah mereka dgn arwah bapanya dlm syurgaMu. Kau bahagiakanlah mereka di 1 Syawal nanti. Al-Fatihah untuk Allahyarham Syed Shaufira,” katanya.

Ujar Shahrom, arwah seorang yang amat disenangi oleh keluarga, jiran dan ahli keluarga selain memiliki budi pekerti mulia. Allahyarham meninggalkan enam anak dan seorang balu.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya kepada isterinya, Wan Roziana Wan Yacob di akaun Maybank di nombor 164173651238 atau menghubungi kakak arwah, Sharifah Sharmila di talian 019-383 1064. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |