SKUAD badminton kebangsaan dijangka melakukan persiapan lebih awal bagi memastikan semua pemain berada dalam keadaan bersedia menjelang saingan Piala Thomas yang akan berlangsung di Horsens, Denmark April tahun depan.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei dalam tempoh terdekat.
Ia bertujuan bagi merangka pelan terbaik untuk skuad badminton negara ke arah kejohanan paling berprestij itu yang turut dianggap sebagai Piala Dunia untuk sukan raket berkenaan.
“Sejak Datuk Seri Lee Chong Wei dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi, kami sudah pun mengadakan perbincangan bahawa perancangan ke arah Piala Thomas perlu dibuat dari sekarang.
“Kita tidak mahu menunggu sehingga satu atau dua bulan sebelum kejohanan baru buat persiapan. Sebab itu kami mengadakan perbincangan November ini supaya pemain boleh melakukan persiapan awal,” katanya ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara semalam.
Sebelum ini, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menetapkan sasaran untuk menjulang Piala Thomas 2026 dalam pelan strategik Tangkis 2030 selepas kali terakhir Malaysia muncul juara pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.
Pada masa sama, jurulatih dari Indonesia itu turut menjelaskan bahawa temasya Sukan SEA 2025 di Thailand Disember depan akan menjadi pentas persiapan awal buat pasukan negara, terutamanya dari segi semangat berpasukan.
“Kalau di Sukan SEA, kita tidak boleh menjadikan ia sebagai kayu ukur untuk Piala Thomas kerana tahapnya jauh berbeza dari segi kualiti serta intensiti pertandingan, namun ia boleh membina semangat berpasukan,” ujarnya.
Terdahulu, BAM mengumumkan skuad yang cukup kuat untuk menggalas misi di Sukan SEA apabila membariskan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta perseorangan lelaki, Leong Jun Hao dan Justin Hoh.
Meskipun memberi keutamaan kepada pemain kebangsaan, namun BAM dijangka mempertimbangkan penyertaan pemain profesional ke Piala Thomas seperti Lee Zii Jia, Aidil Sholeh Ali Sadikin serta gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

19 hours ago
5

















![[VIDEO] ‘Masalahnya koko hari Rabu bukan hari Jumaat bang’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-02-at-2.32.34-PM.jpeg)































