SAYA dan keluarga memulakan pengembaraan ke Maghribi dengan dua kali transit iaitu di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu dan London, Britain.
Sebenarnya, penerbangan ke Tangier hanya tersedia pada hari-hari tertentu.
Oleh itu, pengunjung berminat ke sini boleh mengubah suai itinerari mengikut jadual penerbangan yang sesuai.
Tangier merupakan sebuah bandar pelabuhan di utara Maghribi yang memiliki pengaruh budaya tempatan, Sepanyol dan Perancis.
Bandar itu adalah lokasi strategik untuk memulakan atau menamatkan perjalanan di Maghribi, sama ada melalui penerbangan kos rendah dari bandar-bandar di Eropah atau menaiki kereta api laju. Jika ingin ke selatan Sepanyol, pengunjung boleh menaiki feri dari Pelabuhan Tangier dengan perjalanan selama 45 minit.
Tangier sebuah bandar yang tenang, dengan jumlah penduduk tidak terlalu padat dan trafik lancar. Ia berbeza dengan bandar-bandar lain di Maghribi.
Kami menginap selama satu malam di Tangier sebelum meneruskan perjalanan ke Rabat iaitu ibu negara Maghribi dengan menaiki kereta api dari Stesen Tanger Ville.
Dengan kereta api laju Al-Boraq, perjalanan sejauh lebih kurang 240 kilometer (km) hanya mengambil masa satu jam 20 minit untuk tiba di Stesen Rabat Agdal.
Di Rabat, kami melawat Kasbah des Oudayas iaitu sebuah kubu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

di Emeraude Camp, Agafay, Maghribi.
Kemudian, kami ke Andalusian Garden, sebuah taman yang dipenuhi pokok bunga dan buah oren.
Kami juga menaiki tram ke Hassan Tower, kawasan masjid yang tidak sempat disiapkan pembinaannya, namun diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Bersebelahan Hassan Tower terdapat Makam Raja Mohammed V, tempat persemadian Raja Mohammed V dan dua puteranya, Raja Hassan II serta Putera Abdallah.
Di Rabat Medina, kami mengunjungi souk (pasar lama) yang menjual rempah-ratus, seramik dan cenderamata tempatan.
Pada hari ketiga, kami menaiki kereta api dari Rabat Ville ke bandar seterusnya, Fes. Di Fes, kami bersiar-siar di Mechouar Fes Jdid untuk melihat pokok oren yang merimbun di sekeliling kawasan itu.
Kami juga melawat Madrasah Al-Attarine iaitu sebuah institusi pengajian Islam yang terkenal dengan seni bina dan ukiran sangat indah.
Selain itu, kami berkunjung pusat pembuatan barangan kulit terbesar dan tertua di Maghribi iaitu Chouara Tannery.
Kami kemudian menjelajah Medina Fes, kawasan pasar yang turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Saya menyarankan pelawat menggunakan Google Maps sebagai panduan jalan bagi mengelakkan ditipu oleh kanak-kanak tempatan yang sering menunjukkan laluan jauh untuk mendapatkan bayaran.
Keesokan harinya, kami menaiki kereta api ke Casablanca dengan perjalanan lebih kurang empat jam.
Casablanca adalah bandar moden yang membolehkan pengunjung bergerak dengan mudah menggunakan tram dan bas.
Di sana, kami melawat Masjid Hassan II, masjid terbesar di Maghribi dan di benua Afrika. Masjid ini hanya dibuka untuk lawatan pada waktu solat.

Keesokan harinya, kami menaiki kereta api ke Marrakech yang mengambil masa tiga jam, sebelum meneruskan perjalanan ke Agafay menaiki teksi selama 45 minit.
Di Agafay, kami berpeluang bermalam di Emeraude Camp, sebuah padang pasir berbatu untuk merasai pengalaman tidur di gurun dengan pemandangan langit dipenuhi bintang.
Khemah kami berbentuk iglu bagi membolehkan kami menikmati pemandangan luar. Mereka juga menyediakan pakej menunggang unta pada waktu senja serta persembahan kebudayaan pada sebelah malam.
Pada hari berikutnya, kami menaiki teksi kembali ke Marrakech dan melawat beberapa tempat menarik seperti Masjid Koutoubia, Jardin Majorelle dan Madrasah Ben Youssef.
Kami sempat bersiar-siar di Djemaa El-Fnaa iaitu sebuah dataran sebelum menaiki penerbangan ke London pada keesokan harinya.