KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Ilham Tower Sdn. Bhd. (Menara Ilham) untuk menangguhkan sementara prosiding lucut hak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sementara menunggu semakan kehakiman diputuskan.
Hakim Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh memutuskan untuk membenarkan perintah ad interim bagi mengelakkan sebarang tindakan pelucuthakan oleh SPRM sebelum tarikh pendengaran penuh atas alasan sebarang tindakan sebelum itu akan menjejaskan keseluruhan prosiding semakan kehakiman.
“Tiada gunanya memberikan tarikh pendengaran sekiranya esok harta itu sudah dilucut hak. Sebarang tindakan sebelum pendengaran penuh boleh menjejaskan keseluruhan permohonan,” katanya ketika membacakan penghakiman ringkasnya.
Berhubung isu niat jahat yang dibangkitkan, Mahkamah perlu melihat secara keseluruhan kedua-dua penyitaan tersebut dan mahkamah pada peringkat ini tidak boleh menolak dakwaan mala fide kerana ambang kebenaran semakan kehakiman adalah rendah.
“Persoalan sama ada wujud atau tidak niat jahat hanya boleh ditentukan pada peringkat substantif. Namun, mahkamah tidak boleh mengabaikan dakwaan yang dikemukakan dalam afidavit pemohon,” katanya.
Hakim tersebut memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada peguam pemohon, Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar bersama peguam-peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal.
Pihak responden pula diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Norhafizza Azizan.
Menara Ilham memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu secara ex-parte (sebelah pihak) melalui firma guaman Tetuan Raj & Sach pada 23 Jun lalu, selepas bangunan 60 tingkat itu disita oleh SPRM pada 4 Jun.
Pada pendengaran semakan kehakiman tersebut, Mahkamah akan mendengar hujahan yang antara lain memohon perintah certiorari untuk membatalkan notis penyitaan serta perintah mandamus bagi mengarahkan pihak berkuasa menarik balik tindakan penyitaan tersebut.
Syarikat berkenaan menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, Pegawai Penyiasat SPRM Mohd. Razi Rahim @ Rahim, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib, SPRM dan Peguam Negara sebagai responden.
Dalam afidavit sokongan, Pengarah syarikat berkenaan, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid yang juga isteri kepada bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, menyatakan bahawa penyitaan pertama terhadap Menara Ilham dibuat pada 18 Disember 2023 di bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 dan sepatutnya tamat pada 17 Jun tahun ini.
Namun, dua minggu sebelum tamat tempoh itu, SPRM mengeluarkan notis penyitaan baharu pada 4 Jun di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), yang menurutnya adalah cubaan untuk memintas undang-undang dengan salah guna kuasa.
Dalam hujahnya, Gurdial berkata, penyitaan kedua itu merupakan tindakan mala fide (berniat jahat) dan penyalahgunaan kuasa kerana ia dilakukan semata-mata bagi melanjutkan siasatan yang sepatutnya telah tamat.
“Selepas tempoh 18 bulan berakhir, pihak berkuasa sepatutnya membuat keputusan sama ada mendakwa, melucut hak atau melepaskan harta berkenaan, bukan menyambung siasatan dengan menggunakan peruntukan undang-undang lain,” katanya.
Bagaimanapun, Norhafizza berhujah, penyitaan kedua itu dibuat di bawah undang-undang berbeza dan tiada bukti wujudnya unsur niat jahat seperti yang didakwa oleh pihak pemohon.
Mahkamah menetapkan 18 November bagi pengurusan kes dan 1 Disember untuk pendengaran permohonan penggantungan. – KOSMO! ONLINE

                        8 hours ago
                                4
                    
![[VIDEO] Hebat Bezza, jadi pilihan polis Papua New Guinea](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-04-at-21.02.41.jpeg)















![[VIDEO] Berpeluh dalam komuter 40 minit](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Untitled-design-2025-11-04T141912.331.png)































