IPOH – Pelan Integriti Nasional yang dilancarkan pada 23 April 2004 masih belum mencapai matlamatnya bahkan isu semasa dihadapi negara ketika ini membuktikan terdapat jurang yang menghalang sasaran pelan tersebut dicapai.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pelan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu menetapkan lima sasaran untuk dicapai dalam tempoh lima tahun pertama antara 2004 hingga 2008.
Titah baginda, lima sasaran itu ialah mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan serta meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi kerenah birokrasi.
Antara lain, baginda bertitah, ialah meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan serta memantapkan institusi keluarga serta meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.
“Demikian impian murni seorang pemimpin, demikian harapan luhur seorang negarawan. 21 tahun selepas dilancarkan Pelan Integriti Nasional, ternyata ada jurang, malah berlaku jurang yang lebih lebar antara impian dan harapan dengan realiti dan hakikat yang sedang berlaku.
“Akhbar saban hari melaporkan berita tangkapan, siasatan, pendakwaan dan perbicaraan kes-kes rasuah, pecah amanah, ketirisan sumber, kronisme dan salah guna kuasa,” titah baginda di sini hari ini.
Baginda bertitah demikian pada Sambutan Bulan Integriti Nasional Tahun 2025 di Dewan Banquet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Sultan Nazrin bertitah, akhbar turut memberitakan penerokaan tanah secara haram pada skala besar, kilang haram yang besar tersergam, pusat judi, pusat hiburan, spa, rumah urut dan sarang pelacuran tanpa lesen, pencemaran alam yang mengancam kehidupan, dengan setiap satunya berlaku secara terbuka dan terang-terangan. – KOSMO! ONLINE

14 hours ago
5











![[VIDEO] Isteri Prince Syed masuk hospital tiada kaitan komplikasi bariatrik](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Dr.-Abdul-Gafoor-ketika-mengulas-mengenai-keadaan-Fatin-Syazwani-di-TikToknya-semalam..jpeg)






![[VIDEO] Pengawal sekolah dirai besar-besaran pada majlis persaraan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Tangkap-layar-memaparkan-hantaran-oleh-@Kak-Rock-Laa-di-laman-TikTok.jpeg)





























