Masih tentang pasung, ‘Wanita Yang Dirantai’ hantui Malaysia

14 hours ago 4

FILEM Indonesia, Menjelang Maghrib yang pernah mencetuskan fenomena pada 2022 kembali mengganas dengan sambungan berjudul Menjelang Maghrib 2: Wanita Yang Dirantai.

Seram berganda, naskhah terbitan Helroad Films itu digarap bersama versi baharu dengan suntikan elemen budaya yang bertentangan hukum sains moden.

Penerbit dan pengarah, Helfi Kardit, berkata, sekuel itu masih kekal dengan tema utama iaitu ‘Wanita Yang Dipasung’, namun sarat unsur peradaban masyarakat setempat sekali gus menggandakan keunikan latar cerita.

“Bagi filem kedua ini saya masih konsisten dengan tema utama yang menjadi paksi kepada penceritaaan iaitu pasung.

Meskipun filem ini akan dihasilkan dalam beberapa siri lagi, garapan tetap dikekalkan dengan tema yang sama,” katanya.

Berlatarbelakangkan tahun 1920-an ketika Indonesia masih dijajah Belanda atau dikenali sebagai Hindia Belanda, Menjelang Maghrib 2 membawa penonton ke kawasan terpencil di kaki gunung yang menyimpan seribu satu kisah seram.

Di perkampungan tersebut seorang dukun merawat pesakit mental dengan kaedah bertentangan prinsip perubatan moden.

Seorang doktor, Giandra yang terbaca kisah gadis bernama Layla dipasung selepas mengalami gangguan mental datang ke perkampungan tersebut untuk menyelidiki perkara tersebut.

Bongkar rahsia

Bersama wartawan kacukan Indonesia-Belanda iaitu Rikke, Giandra cuba menyelami misteri pesakit terbabit sehingga satu demi satu rahsia gelap mula terbongkar.

Menurut Helfi lagi, Menjelang Maghrib 2 yang ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia pada 4 September lalu mendapat sambutan luar biasa.

Dia berharap versi sambungan itu meraih maklum balas positif peminat Malaysia memandangkan Menjelang Maghrib mencatat kutipan hampir RM2 juta di negara ini.

“Semasa ditayangkan di Malaysia tiga tahun lalu, Menjelang Maghrib mendapat sambutan hebat penggemar filem seram dengan kutipan hampir mencecah RM2 juta.

“Sudah tentu saya meletakkan harapan tinggi agar kesinambungan kisahnya diterima baik ramai warga Malaysia seperti naskhah sulung,” ujarnya.

Dibintangi Aditya Zoni, Ajeng Fauziah serta Muthia Datau, Menjelang Maghrib 2 bakal menghantui pawagam seluruh negara mulai 20 November depan.

Selain menyajikan naratif mendebarkan, khalayak bakal dibawa menyusuri desa tradisional, rumah kampung yang mendamaikan serta menyelami pemikiran dan komunikasi masyarakat setempat pada era berkenaan.

MASIH mengekalkan tema wanita dipasung, sekuel kedua bercerita tentang watak Layla yang mengalami masalah mental.

Terbitan Helroad Films, naskhah Menjelang Magrib 2 digarap dengan suntikan elemen budaya yang bertentangan hukum sains moden.

MENJELANG Maghrib 2 memaparkan naratif lebih gelap dan seram berganda.

Read Entire Article
Pertanian | | | |