SHAH ALAM – Taktik licik sekumpulan warga asing memperdaya warga Jepun melalui sindiket love scam akhirnya terbongkar apabila markas operasi mereka di sebuah rumah di Semenyih diserbu polis, minggu lalu.
Serbuan pada 5 November lalu berjaya memberkas 13 suspek warga asing termasuk dua wanita selain merampas masing-masing 11 unit telefon bimbit dan komputer riba.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua suspek didapati memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial sejak Oktober lalu.
Menurutnya, sindiket ini menyasarkan mangsa-mangsa dari negara Jepun secara atas talian menggunakan platform seperti Instagram dan Line untuk mencipta akaun palsu dengan identiti rekaan bagi memperdayakan mangsa.
“Setiap ahli sindiket diarahkan membuatkan posting harian di media sosial bagi menunjukkan sindiket ini aktif dan tulen.
“Setelah berjaya menarik perhatian mangsa, sindiket ini mula berkomunikasi dengan menghantar mesej kepada mangsa bagi mendapati nombor telefon peribadi dan akaun media sosial,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Kata beliau, perbualan komunikasi antara ahli sindiket mangsa dilakukan dalam bahasa Inggeris dan Jepun.
Tambahnya, siasatan juga mendapati bahagian kewangan diuruskan ahli sindiket lain dan
sindiket menggunakan platform Telegram dan Signal sebagai medium komunikasi dalaman antara ahli-ahli sindiket.
“Aktiviti mereka dijalankan menggunakan rangkaian internet tempatan dan kami sedang menyiasat jumlah sebenar mangsa serta bayaran yang diterima setiap ahli sindiket daripada satu mangsa.
“Jumlah kerugian keseluruhan juga masih dalam siasatan,” katanya.
Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

2 weeks ago
21

















































