GUA MUSANG – Seorang mandur ladang berdepan detik cemas apabila dikejar seekor gajah liar betina sejauh lebih 100 meter ketika membuat rondaan di ladang kelapa sawit di Felda Aring 11 di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Mohamad Azerie Mohd. Razali, 31, sempat menyelamatkan diri, namun mengalami luka pada bahagian lutut.
Mohamad Azerie berkata, ketika kejadian, dia sedang menunggang motosikal seorang diri untuk membuat rondaan di kawasan ladang di tempat kerjanya.
Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, dia terkejut selepas melihat seekor gajah liar berada di kawasan tersebut dan berada dalam keadaan untuk menyerangnya.
“Terkejut dengan keadaan itu, saya terus meninggalkan motosikal sebelum berlari ke arah pokok kelapa sawit selain berharap gajah terbabit berhenti mengejar. Haiwan itu bagaimanapun tetap mengejar dan hanya berada beberapa meter berada di belakang saya.
“Saya bertindak terjun dari kawasan teres ladang setinggi kira-kira 2 meter, namun gajah liar itu tetap mengejar. Apabila tiba di teres bukit ketiga, saya terjatuh dan gajah terbabit juga turut terjatuh sebelum merasakan bahagian perutnya terkena paha saya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Felda Chiku 3 di sini hari ini.
Mohamad Azerie memberitahu, dalam keadaan kesakitan, dia berlari sejauh 200 meter ke jalan utama kawasan ladang bagi mendapatkan bantuan.
Katanya, dia lega apabila bantuan tiba dan dibawa ke pejabat ladang sebelum ke Klinik Aring 1 dan seterusnya Hospital Gua Musang untuk rawatan susulan.
“Saya bersyukur tidak mengalami kecederaan dan hanya sakit di bahagian paha kiri akibat terkena perut gajah terbabit ketika terjatuh.
“Pengalaman ini tidak mungkin saya lupa. Saya trauma dengan kejadian terbabit dan mungkin akan terus mengambil cuti buat sementara waktu,” katanya. – KOSMO! ONLINE