KUALA LUMPUR – Penggantungan serta-merta pelaksanaan perjanjian damai Thailand-Kemboja tiada kaitan dengan Malaysia kerana negara ini hanya penyelaras kepada perjanjian damai tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penggantungan itu juga tiada kaitan dengan dakwaan bekas Mejar Jeneral Thailand, Rangsi Kitiyansap terhadap beliau dan Malaysia.
Anwar berkata, Perdana Menteri Thailand malah tidak pernah mempertikai peranan Malaysia sebagai pengantara perjanjian itu seperti dinyatakan dalam mesej kepadanya baru-baru ini.
“Doakan bagi selesai…yang kita seronok kalau bergaduh sebab mahu tunjuk Perdana Menteri Malaysia tak berjaya. Ini sikap sangat merugikan.
“Doa perjanjian ini gagal semata-mata mahu tunjuk Perdana Menteri Malaysia gagal. Doakan aman kerana kalau bergaduh kesan kepada kita,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai punca Bangkok menolak cadangan Malaysia menghantar lebih ramai tentera pengaman ke Thailand.
Anwar berkata, Malaysia hanya berperanan menyelaraskan perjanjian damai itu, tetapi setiap parameter ditentukan dan dipersetujui kedua-dua negara itu.
“Kita tolong rundingkan. Ketika Perdana Menteri Thailand dan Kemboja dipanggil, saya minta mereka tentukan parameter, selain Malaysia hanya bantu menyelaraskan,” katanya.
Jelas beliau, penggantungan perjanjian damai Thailand-Kemboja kerana ketetapan Bangkok yang mengambil kira gesaan supaya Kemboja mematuhi sepenuhnya perincian perjanjian.
Kata beliau, antara perjanjian itu akan membawa kepada pembebasan 18 tahanan di bawah Thailand.
“Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar sudah diarahkan mendapatkan laporan terkini perkembangan krisis bagi membolehkan bantuan diberikan,” katanya.
Mengulas kenyataan bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, Anwar berkata, kenyataan itu ekoran kebimbangannya terhadap persetujuan Malaysia.
“Seolah-olah ia (persetujuan) dipaksa ke atas Jakarta. Ini tidak benar. Kita bersetuju dengan pengecualian seperti (perkara) 5.2 dan 7.3 (perjanjian)
“Ia mengiktiraf dasar, keselamatan, undang-undang dan peraturan negara termasuk Dasar Bumiputera dan memelihara kepentingan tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

2 weeks ago
16

















































