Malaysia ganti Iran tuan rumah Kejohanan Petanque Asia

14 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan arena petanque di rantau Asia apabila dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Petanque Asia 2025 yang akan bermula esok hingga Ahad nanti.

Kejohanan edisi keenam itu akan berlangsung di Arena Petanque Kuala Lumpur, Cheras dengan melibatkan 141 peserta dari 15 negara bertanding.

Keputusan menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah adalah disebabkan beberapa negara bertanding bimbang dengan keselamatan di Iran selain berdepan isu perjalanan.

Justeru, ia mendorong Konfederasi Sukan Boules Asia (ASBC) menawarkan hak penganjuran kepada Malaysia dan memindahkan kejohanan itu ke Kuala Lumpur.

Kejohanan itu turut menjadi medan buat beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia melakukan persediaan bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2025 di Thailand Disember depan.

Pemangku Presiden Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF), Cheah Ban Cheng berkata, pihaknya berbesar hati kerana Malaysia diberikan kepercayaan buat kali ketiga bagi menganjurkan kejohanan itu.

“Ia satu penghormatan yang cukup besar buat Malaysia kerana sekali lagi diberikan kepercayaan untuk menganjurkan kejohanan penting di peringkat benua ini.

“Kami sentiasa bersedia menjadi tuan rumah dan berbangga untuk menganjurkan acara yang mencerminkan tahap tertinggi dalam persaingan. Saingan kali ini pasti lebih menarik,” katanya.

Pada edisi kali ini, dua acara dipertandingkan, iaitu precision shooting dan triples melibatkan kategori lelaki, wanita dan remaja.

Atlet negara, Muhammad Hafizuddin Mat Daud pastinya menjadi tumpuan pada kejohanan itu nanti selepas meraih pingat gangsa pada Kejohanan Dunia di Rom, Itali September lalu.

“Pasukan negara kita sedang membina momentum yang mantap di pentas dunia dan kejohanan ini adalah platform terbaik sebelum ke Sukan SEA di Thailand,” ujar Ban Cheng. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |