Malaysia gagal juarai aksi kumpulan

11 hours ago 5

HARAPAN Malaysia untuk muncul juara Kumpulan C dalam saingan Piala Sudirman 2025 tidak kesampaian apabila tewas tipis 2-3 kepada pilihan ketiga kejohanan, Jepun dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Gimnasium Fenghuang, Xiamen, China, semalam.

Skuad negara bermula cemerlang selepas beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menghadiahkan mata pertama menerusi kemenangan 21-19, 21-18 ke atas gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Arisa Higashino.

Momentum kemenangan diteruskan oleh perseorangan lelaki, Leong Jun Hao yang tampil garang menundukkan pemain ranking lebih tinggi, Kodai Naraoka dengan keputusan 21-8, 13-21, 21-18 untuk meletakkan Malaysia selesa mendahului 2-0.

Jun Hao berkata, keyakinan tinggi serta pendekatan menyerang menjadi kunci utama kejayaannya dalam aksi tersebut yang menyaksikan dia tidak memberi ruang kepada lawan sejak awal permainan.

“Saya memang merancang untuk bermain lebih agresif kerana ada sedikit ‘drift’ di sebelah gelanggang, jadi pendekatan itu membolehkan saya kumpul lebih banyak mata.

“Saya sudah beberapa kali bertemu Kodai dan agak faham corak permainannya, jadi strategi tidak banyak berubah, cuma saya ikut rentak semasa dan lakukan sedikit penyesuaian ikut keadaan,” katanya.

Namun, kelebihan itu gagal dipertahankan apabila pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei tewas kepada Tomoka Miyazaki 14-21, 17-21, sementara beregu lelaki harapan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga gagal menyumbang mata.

Gandingan negara itu kecundang dalam pertarungan sengit tiga set menentang Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 21-12, 20-22, 21-23, sekali gus menghidupkan semula peluang Jepun.

Sementara itu, beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah juga terpaksa akur apabila tunduk dalam pertarungan tiga set kepada pasangan handalan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, 18-21, 21-18, 18-21.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan sebagai naib juara dan bakal berdepan laluan sulit ke separuh akhir apabila bakal diundi menentang pasukan juara sama ada China, Korea Selatan dan Indonesia .

Read Entire Article
Pertanian | | | |