KUALA LUMPUR – Arena petanque negara dijangka melakar sejarah tersendiri apabila Malaysia ditawarkan peluang menganjurkan Kejohanan Dunia Lelaki yang akan berlangsung September tahun depan.
Sekiranya menjadi realiti, ia merupakan kali pertama Malaysia akan menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah bagi kejohanan penuh berprestij itu.
Pemangku Presiden Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF), Cheah Ban Cheng berkata, Malaysia memiliki fasiliti cukup lengkap di Arena Petanque Kuala Lumpur, Cheras.
Justeru, ia membuktikan bahawa pihaknya sudah cukup bersedia untuk menganjurkan kejohanan itu yang dijangka disertai maksimum 48 negara.
“Tahun depan akan ada Kejohanan Dunia Lelaki dan sekiranya kita anjur, ia merupakan kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah. Kita tidak pernah menganjurkan Kejohanan Dunia sebelum ini.
“Berhubung dengan fasiliti yang ada, memang kita sudah bersedia untuk menganjurkan kejohanan itu kerana memiliki 32 gelanggang dan mereka hanya perlukan 24 gelanggang,” katanya.
BAN Cheng (kanan) dan Azema.Beliau berkata demikian ketika majlis perasmian Kejohanan Petanque Asia 2025 di Arena Petanque Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Meskipun sudah hampir pasti menjadi tuan rumah, namun Ban Cheng menjelaskan, pihaknya akan mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan terlebih dahulu sebelum membuat pengumuman.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Boules dan Petanque Dunia (WPBF), Claude Azema turut menyifatkan Malaysia sudah benar-benar bersedia untuk menganjurkan Kejohanan Dunia selepas dibuat penilaian.
“Saya datang untuk melihat sama ada Malaysia sudah bersedia ataupun tidak bagi menganjurkan Kejohanan Dunia. Bagi saya, ini merupakan venue yang cukup baik untuk kejohanan itu.
“Malaysia memang antara calon (tuan rumah) tetapi ia akan dibincangkan terlebih dahulu sebelum kami membuat keputusan bulan depan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
3









![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)







































