‘Malas saya nak jawab, minta berjela-jela belanjawan semalam bukan sokong’

17 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Suasana Dewan Rakyat hari ini bertukar riuh seketika apabila Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, secara bersahaja enggan menjawab soalan tambahan daripada Muhammad Islahuddin Abas (PN–Mersing) berhubung usaha kerajaan dalam menaik taraf jalan perhubungan ke Mersing.

Ahmad Maslan yang bangun berkata, beliau berasa ‘malas untuk menjawab’ selepas beberapa Ahli Parlimen di barisan pembangkang tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 yang dibentangkan kerajaan semalam.

“Mersing pembangkang minta bukan main banyak lagi, semalam pembangkang-pembangkang ni tak menyokong pun Belanjawan 2026 tapi minta berjela-jela.. Macam malas saya nak menjawab.. Kenapa tak sokong semalam?

“Lepas tu minta itu minta ini, tapi bajet tak sokong, malas saya nak jawab. Saya malas menjawab soalan korang bukan malas datang ke Parlimen. Belanjawan semalam pun untuk rakyat tapi mereka (pembangkang) tak sokong,” katanya yang disambut gelak ketawa dan tepukan beberapa Ahli Parlimen kerajaan.

Suasana riuh tersebut akhirnya dihentikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Datuk Mohd Nor yang menjelaskan bahawa dari segi peraturan mesyuarat, tiada kewajipan bagi menteri atau timbalan menteri untuk menjawab setiap soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Parlimen.

“Dari segi peraturan, tidak ada dalam buku yang memaksa menteri menjawab. Jadi kita teruskan,” katanya.

Dewan Rakyat semalam meluluskan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2026 pada peringkat dasar selepas dibahaskan bermula dari 13 Okt lepas.

RUU yang dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 10 Okt itu diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan 120 anggota Parlimen bersetuju, 67 tidak bersetuju dan 35 tidak hadir.

Menurut takwim Parlimen, perbahasan RUU itu bagi peringkat jawatankuasa akan bermula hari ini hingga 27 November ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |