Majikan kejam, pekerja logistik tidak dibayar gaji, caruman

9 hours ago 3

KLANG – “Majikan kejam dan menindas,”. Itu antara luahan pekerja sebuah gudang logistik di kawasan Perindustrian Pulau Indah di sini yang ditemui ketika Operasi Bersepadu ‘Op Kurier’ hari ini.

Operasi selama hampir dua jam itu disertai Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang menemu bual sendiri beberapa pekerja di premis berkenaan.

Menurut Abdul Rahman, aduan diterima menunjukkan wujud ketidakpuasan hati terhadap layanan majikan atau vendor yang culas menjaga kebajikan pekerja termasuk soal caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Ada pekerja mendakwa selepas bekerja tiga hingga empat jam dan terpaksa balik kerana kecemasan, mereka tidak dibayar gaji bagi tempoh itu. Pekerja itu beritahu ia satu kekejaman kepada mereka.

“Malah ada kes kematian akibat kemalangan, tetapi tiada faedah diterima kerana tiada caruman Perkeso,” katanya selepas operasi berkenaan.

Abdul Rahman menegaskan pihaknya tidak mahu ada penindasan kepada mana-mana pekerja dan akan memanggil majikan serta vendor terlibat bagi siasatan lanjut.

Beliau berkata, pemeriksaan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mendapati pelbagai kesalahan di bawah Akta Kerja 1955 (Akta 265) termasuk waktu kerja melebihi 45 jam seminggu, bayaran kerja lebih masa tidak mencukupi serta tiada penyata gaji dan kontrak perkhidmatan.

Selain itu, katanya, majikan turut didapati melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Kemudahan dan Penginapan Pekerja 1990 (Akta 446) apabila gagal mendapatkan sijil perakuan penginapan daripada JTKSM.

“Perkeso mendapati ada majikan tidak mencarum pekerja sambilan di bawah vendor luar. Siasatan sedang dijalankan untuk memastikan sama ada caruman perlu dibuat di bawah Akta 4 (Lindung Pekerja) atau Akta 789 (Lindung Kendiri),” jelasnya.

Tambah beliau, KWSP turut mengeluarkan notis kepada majikan kerana terdapat caruman dibuat hanya atas gaji pokok tanpa mengambil kira elaun serta terdapat pekerja separa masa yang tidak dicarum.

“Kita juga melindungi orang yang membuat laporan kepada kita. Kalau pelapor itu dibuang kerja, kita ambil tindakan ke mahkamah (terhadap majikan terlibat),” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahman memaklumkan sebanyak 490 kertas siasatan dibuka JTKSM dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini dengan 353 kes telah mendapat izin mendakwa melibatkan denda keseluruhan RM138,000, manakala 501 kompaun bernilai RM2.87 juta dikeluarkan.

“Tindakan sama turut diperluas ke Sabah dengan nilai pendakwaan keseluruhan mencecah RM87 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |