‘Maafkan abah, Bilal, jika wujud butang padam…’

18 hours ago 5

PETALING JAYA – Empat tahun berlalu, pendakwah bebas PU Riz kesal apabila masih ada segelintir netizen mengungkit isu lama membabitkan dakwaan dirinya merentas negeri sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika fasa pandemik Covid-19.

PU Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail, 30, berkata, perkara yang dijadikan bahan gurauan serta sindiran sehingga ke hari ini itu melampau sekali gus melukakan perasaannya.

“Amati baik-baik apa yang ingin saya tulis kerana emosi saya benar-benar penat dan saya rasa ‘it’s about time’ mulut-mulut yang tiada hemat dan hormat pada agama diberi peringatan.

“Tidak mengabaikan apa yang terjadi di Nilai dan penceritaannya, peristiwa itu menjadi sebahagian daripada sejarah hidup saya. Buat kali pertama, saya menempuh satu peristiwa durjana yang perit ditelan.

“Walaupun akhirnya mahkamah sudahpun membuat keputusan, kesannya pada hidup saya amatlah menakutkan. Percayalah, tiada satu pun sisi diri saya yang menginginkan hal ini berlaku,” tulisnya dalam hantaran di laman sosial.

Dalam perkongsian sama, suami kepada pelakon dan usahawan, Neelofa itu, tidak menafikan timbul rasa bersalah dalam diri terhadap anak sulungnya, Bilal setiap kali mengenang insiden berkenaan.

Apatah lagi ketika itu isterinya sarat hamil putera sulung mereka yang membuatkan kekecewaannya berganda selain mempersoalkan kemampuannya sebagai seorang bapa.

“Kita yang tua bangka ini pun tertekan, apatah lagi keadaan anak sulung yang masih dalam rahim ibunya. Tuhan sahajalah yang tahu.

“Rentetan peristiwa itu, kadang-kadang hadir suara kecil berbisik dalam fikiran, ‘kau bukan seorang bapa yang baik’.

“Sehingga hari ini, setiap kali mengenangkan peristiwa itu, saya akan memeluk Bilal dan memejamkan mata, sambil berbisik padanya ‘Maafkan Abah, Bilal’,” tulisnya.

Menurut Haris lagi, perkara lain yang mencetuskan kekesalan adalah apabila seseorang yang dianggap sahabat turut menjadikan insiden berkenaan sebagai ‘modal’ satu program lawak.

“Kami juga insan biasa yang ada kekurangan, tidak pernah kami nafikan dan keadilan perlu ditegakkan. Kami pertahankan apa yang benar dan diizinkan Tuhan. Alhamdulillah.

“Belum lagi saya cerita mengenai pelawak yang kontang idea, mengotak-katikkan maruah saya di hadapan ribuan, bahkan jutaan rakyat Malaysia. Semasa panggilan, skrip diberitahu mengenai watak ustaz. Langsung tiada disebut awal-awal isu peribadi akan dimainkan.

“Tambahan pula, yang mempelawa itu sahabat baik dalam program Pencetus Ummah suatu ketika dahulu. Dengan sangkaan baik dan persahabatan yang kukira suci, dirobek begitu sahaja demi mengejar ‘rating’ yang entah ke mana arahnya,” ujarnya.

Akui PU Riz lagi, rakannya masih menyimpan mesej dikirimkan yang menzahirkan rasa memandangkan insiden berkenaan turut memberi tempias terhadap keluarga.

“Sahabat saya tidak ramai. Maka jika berkawan, saya bersahabat sungguh-sungguh. Walaupun demikian, kerana hal ini sudah lama berlalu, saya maafkan.

“Jika masa boleh diundurkan, dan jika wujud butang padam, inilah detik yang ingin saya padam jauh-jauh dari hidup saya.

“Percayalah ia bukan sesuatu yang mudah buat keluarga kami. Walaupun hampir empat tahun berlalu, komentar seperti ‘Karpet ada jual tak?’, ‘Nilai kat Selangor ke?’ masih muncul di media sosial,” tulisnya.

Akui PU Riz lagi, dia sekadar meluahkan isi hatinya kerana semua keputusan sudah dibuat mahkamah.

“Tiada apa yang boleh saya lakukan. Tulisan ini juga bukan satu desakan atau permintaan.

“Suara sumbang seperti, ‘kan kau yang cari hal, kau tanggunglah’, ‘dah buat, lepastu nak koyak’. Saudara, kita negara hukum. Bukankah mahkamah tempat kita merujuk dan menegakkan keadilan? Kes sudah dibicarakan dan keputusan sudah dikeluarkan.

“Ini sekadar penceritaan dan luahan kekesalan. Saya tidak mengharapkan apa-apa, kecuali urusan baik saya disampaikan Tuhan,” katanya.

Terdahulu, PU Riz dan Neelofa tidak didakwa berkaitan kesalahan rentas negeri selepas mengambil kira kajian dilakukan Pejabat Peguam Negara.

Kertas siasatan dibuka selepas pasangan itu dipercayai merentas negeri dan berada di sebuah premis menjual karpet di Nilai 3, Negeri Sembilan pada Mei 2021. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |