Lima tradisi perkahwinan unik

1 month ago 32

SETIAP pasangan bercinta inginkan perhubungan mereka ke jenjang pelamin dan apabila berkaitan dengan perkahwinan ia merupakan majlis yang paling diraikan.

Tidak kira di mana sahaja di dunia, perkahwinan sentiasa menjadi acara yang sangat istimewa kerana bukan sahaja meraikan cinta kedua mempelai tetapi juga menyebarkan kebahagiaan kepada semua tamu bertandang.

Namun, di setiap negara juga mempunyai budaya dan tradisi mereka sendiri dalam soal perkahwinan dan ada antaranya mungkin nampak unik daripada amalan kelaziman.

Untuk melihat sejauh mana pelik dan uniknya tradisi atau ritual perkahwinan ini, berikut merupakan lima adat istiadat perkahwinan paling unik berdasarkan rujukan portal khushmag.com.

Jerman: Pasangan pengantin kena menggergaji kayu balak
Pengantin baharu di Jerman menikmati tradisi yang dikenali sebagai Baumstamm Sagen, apabila pasangan itu perlu menggergaji kayu balak menjadi dua bahagian.

Ia adalah satu tugas yang perlu dilaksanakan oleh dua orang, Baumstamm Sagen melambangkan kekuatan pasangan itu ketika mereka menghadapi cabaran dalam perkahwinan mereka.

Romania: Pengantin perempuan diculik
Di Romania, jika pengantin perempuan hilang sebelum perkahwinan tidaklah menggemparkan.

Sebaliknya memang terdapat tradisi bagi pengantin perempuan ‘diculik’ oleh rakan dan keluarga sebelum perkahwinan.

Sama seperti lakonan, untuk mendapatkan kembali pasangannya, pengantin lelaki perlu membayar wang tebusannya, boleh jadi melalui gerak isyarat romantis atau mengisi gelasnya dengan minuman champagne.

China: Pengantin perempuan berlatih menangis
Walaupun perasaan sebak hingga mengalirkan air mata pada majlis perkahwinan adalah perkara biasa di mana-mana negara, di beberapa bahagian di China, pengantin perempuan dikehendaki berlatih menangis.

Sebulan sebelum majlis, pengantin perempuan masyarakat Tujia akan berlatih menangis selama satu jam setiap hari.

10 hari selepas itu, dia disertai oleh ibunya berlatih menangis dan 10 hari selepas itu pula, nenek pengantin perempuan turut serta menangis.

Dikenali sebagai Zuo Tang di wilayah Sichuan Barat, upacara itu bermula sejak era peperangan di China apabila ibu kepada seorang puteri Zhao menangis di majlis perkahwinannya.

Kenya: Bapa ludah pengantin perempuan
Jika menghadiri majlis perkahwinan di Kenya, jangan terkejut jika melihat bapa pengantin perempuan meludah pada pakaian anaknya itu kerana dianggap bawa tuah.

Bagi orang Maasai di Kenya, meludah pada seseorang dilihat sebagai menunjukkan rasa hormat dan mengharapkan takdir yang baik.

India: Kasut pengantin lelaki dicuri
Dalam perkahwinan tradisional di India, ada adat untuk pengantin lelaki menanggalkan kasutnya sebelum duduk untuk upacara pernikahan.

Pada masa inilah tradisi Joota Chupai berlaku. Ia adalah upacara di mana pengiring pengantin perempuan dan sepupu sering mempermainkan pengantin lelaki dengan mencuri kasut dan menyembunyikannya.

Untuk mendapatkan semula kasutnya, pengantin lelaki mesti ‘merasuah’ mereka dengan wang tunai supaya dipulangkan sebelum majlis berakhir.

Read Entire Article
Pertanian | | | |