KUALA LUMPUR – “Let’s move forward (mari maju ke hadapan), isu ni dah selesai saya anggap. Saya minta Pendang berehat selama 10 hari,” tegas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Beliau berkata demikian susulan isu Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim digantung 10 hari dan perkara tersebut telah dimuktamadkan sekali gus kes ditutup.
“Apa yang anda katakan di sini hari ini, jangan hina speaker. Johari Abdul adalah berbeza sama sekali. Yang tak ‘handsome’ lah, dia ubi kayu lah, dia peguam tak berkelayakan lah, saya tak kisah Johari Abdul.
“Tapi saat saya duduk di sini, saya duduk sebagai speaker, saya perlu lindungi dewan ini. Itu misi saya, itu sumpah saya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Johari menjelaskan beliau ada menulis surat kepada Awang untuk berjumpa dengannya bagi permohonan maaf, namun Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu tidak berbuat demikian.
“Dia kata ‘no, saya tidak akan sebab saya buat kenyataan di luar’. Saya kata tak adil dan sebagai kawan, saya kata ‘come, talk about it’ (mari, cakapkan tentang perkara itu).
“Lepas tu sekali lagi ada peluang, Ketua Whip bangun hari tu dan apabila berlaku pendapat berbeza dengan Jelutong, Ketua Whip ‘mention’ Pendang kalau boleh isu yang berbangkit, (tapi) dia tak ada juga.
“Saya hantar SUDR (Setiausaha Dewan Rakyat) untuk jumpa dia, dia tak datang. Kalau itu tak mencabar kepada kuasa speaker, apa maksudnya?,” katanya.
Sebelum ini, Awang diarah keluar dari Dewan Rakyat dan digantung 10 hari kerana mengeluarkan dakwaan negatif terhadap Johari menerusi aplikasi TikTok pada 18 Julai lalu.
Keputusan itu diambil susulan Ahli Parlimen PN daripada Pas itu tidak menarik balik atau membuat permohonan maaf susulan tindakan berkenaan. – KOSMO! ONLINE