ALOR SETAR – Seorang lelaki berusia 57 tahun terpaksa meringkuk selama 55 tahun di penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan merogol dan mencabul empat anak tirinya sejak dua tahun lalu.
Hakim N. Priscilla Hemamalini turut memerintahkan tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai buruh binaan dikenakan 44 sebatan bagi semua pertuduhan itu.
Dia didakwa berulang kali merogol dan mencabul mangsa berusia antara enam hingga 11 tahun di sebuah rumah di sini dari Disember 2023 hingga Ogos lalu.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Di bawah kesalahan itu, dia dihukum penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan yang berjalan secara berasingan sehingga berjumlah 18 tahun, selain 12 sebatan.
Bagi hukuman tambahan di bawah Seksyen 16(1), hakim memerintahkan tertuduh menjalani 10 tahun penjara berserta 10 sebatan.
Tertuduh turut berdepan enam pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama.
Hakim menjatuhkan hukuman lima tahun penjara bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlahnya 30 tahun, serta 12 sebatan.
Selain itu, dia juga berdepan satu pertuduhan rogol mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan melibatkan seorang mangsa berusia 11 tahun pada Mei 2025, dan dihukum 10 tahun penjara serta dua sebatan.
Bagaimanapun, tempoh keseluruhan penjara terhadap tertuduh adalah 55 tahun dan 44 sebatan selepas mengambil kira beberapa pertuduhan yang diperintah berjalan serentak.
Sementara itu, bagi pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) AKKSTK 2017, lelaki itu turut diperintahkan menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh penahanan mengikut Seksyen 26 serta pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wongn Rui Fern, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh kemudian dihantar ke Penjara Pokok Sena untuk menjalani hukuman.-KOSMO! ONLINE.

1 week ago
20














![[VIDEO] ‘Sedihnya…Tok Wan Jagung Gurun dah tinggalkan kita’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/tok-wan-jagung.jpeg)


































