BUKIT KAYU HITAM – Seorang lelaki disyaki penyeludup dadah nekad terjun dari sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang masih bergerak selepas merempuh kenderaan kastam dalam cubaan meloloskan diri di Pokok Sena, dekat sini pada 4 Disember lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an seterusnya bertindak melarikan diri sejauh 500 meter ke kawasan kebun getah di situ, namun dia berjaya ditahan.
Hasil pemeriksaan ke atas MPV jenis Toyota Vellfire yang disewa suspek tersebut menemui sebanyak 110 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM3.52 juta.
Pengarah Kastam negeri, Nor Izah Abd. Latiff berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dari Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam bersama pasukan elit, Customs Operational Battle Force Response Assault (Cobra) mengesan sebuah MPV dalam keadaan mencurigakan.
“MPV putih tersebut didapati bergerak laju dari Taman Bandar Sejahtera menghala ke Jalan Kampung Tok Kun di Pokok Sena. Pemandu itu kemudian memecut laju sebaik menyedari kehadiran pegawai kastam.
“Pegawai kastam mengejar sejauh hampir satu kilometer dan cuba menghalangnya daripada melarikan diri, namun suspek bertindak merempuh kenderaan kita sebelum terjun dari MPV yang ketika itu masih bergerak dipercayai akibat panik,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JKDM, di sini hari ini.
Katanya, MPV itu kemudian terbabas ke kawasan parit dan suspek berjaya ditahan di kawasan kebun getah berhampiran tanpa kecederaan.
Menurutnya, semasa ditahan, pihaknya mendapati tiada sebarang pengenalan atau dokumen pengenalan diri ditemukan bersama suspek.
“Modus operandi suspek adalah dipercayai dengan menggunakan MPV mewah untuk menyeludup dadah bagi mengaburi pihak berkuasa. Dia dipercayai dalam perjalanan membawa dadah itu ke Lembah Klang untuk pasaran gelap di sana,” ujarnya sambil memberitahu pihaknya masih menyiasat lokasi dadah itu diperoleh dan diseludup masuk ke negara ini.
Tambahnya, suspek yang bekerja sebagai pemandu didapati mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan kini direman selama enam hari sejak 5 Disember lepas dan tempoh reman disambung enam hari lagi dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, JKDM Kedah telah membuka sebanyak 299 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan penyeludupan di bawah Akta Kastam 1967, manakala sembilan kes sedang disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 pada tahun ini sehingga 4 Disember lalu.
Ia menjadikan jumlah nilai rampasan terlibat dianggarkan bernilai sebanyak RM20.899 juta dan duti/cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM14.057 juta menjadikan jumlah perolehan nilai kes semasa JKDM Kedah sehingga 4 Disember lalu sebanyak RM34.957 juta. – KOSMO! ONLINE