Lelaki lemas di Lata Medang diklasifikasikan mati mengejut

2 weeks ago 30

HULU SELANGOR – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia manakala seorang wanita sedang menerima rawatan dalam kejadian lemas ketika mandi di kawasan rekreasi Lata Medang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.25 petang daripada seorang wanita.

Beliau berkata, sepasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota polis IPD Hulu Selangor, bomba Angkatan Pertahanan Awam serta pasukan perubatan digerakkan ke lokasi kejadian.

“Namun, perjalanan ke kawasan terbabit mengambil masa kira-kira dua jam setengah secara berjalan kaki berikutan laluan yang berbukit dan mencabar.

“Hasil maklumat awal mendapati mangsa masing-masing merupakan lelaki berusia 27 tahun dan wanita berusia 22 tahun. Pada pukul 7.10 malam, kedua-dua mangsa berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat dengan wanita tersebut berada dalam keadaan normal manakala mangsa lelaki tidak sedarkan diri.

“Mangsa wanita berjaya dibawa keluar dan tiba di kawasan berkumpul pada pukul 10.47 malam sebelum dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata, mangsa lelaki pula dibawa turun pada pukul 12.17 tengah malam namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan tiga minit kemudian

Katanya, mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat yang dijadualkan hari ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditemukan tidak sedarkan diri manakala empat wanita terselamat dalam insiden lemas di Lubuk Merchu, Bukit Kutu, petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.59 petang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |