KUALA LUMPUR – Penglibatan golongan wanita dan anak muda antara diberi penekanan dalam Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN ke-14 (ASEAN-AIPA Interface) sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di sini.
Presiden AIPA, Tan Sri Johari Abdul berkata, ini kerana lebih ramai golongan wanita diperlukan dalam pembangunan negara selain sebagai pembuat keputusan di peringkat nasional atau serantau.
“Seperti disebutkan oleh Presiden Filipina serta disokong pemimpin Vietnam dan Timor-Leste, harus ada penekanan diberikan kepada penglibatan pemimpin-pemimpin wanita dan anak muda. Ini mesej sangat kuat yang kita nak hantarkan.
“Kita perlukan lebih ramai penyertaan wanita dalam pembangunan negara. Hampir semua pemimpin melihat kepada penyertaan golongan ini dan alhamdulillah, keadaan di Malaysia yang mana di beberapa bidang sangat menggalakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Johari yang juga Yang di-Pertua Dewan Rakyat berkata, antara bidang-bidang yang mendapat penyertaan golongan wanita seperti perkhidmatan awam khususnya kakitangan sokongan yang mencapai lebih 50 peratus penglibatan mereka.
“Seterusnya perkhidmatan pendidikan juga mencapai kira-kira 50 peratus penyertaan wanita, malah di kampus juga hampir semua populasi wanita jauh lebih hebat berbanding anak lelaki.
“Untuk bidang ini kita tidak ada masalah dan sangat baik, namun dalam bidang lain termasuk politik, kita masih lagi terkebelakang kalau bandingkan dengan beberapa negara lain,” katanya.
Beliau berkata, justeru AIPA mahu supaya penyertaan golongan muda wanita diberi penekanan secara aktif.
Katanya, selain golongan wanita, kumpulan anak muda belia ASEAN turut diberi penekanan semasa Perhimpunan ASEAN-AIPA Interface hari ini memandangkan mereka adalah pemimpin masa depan.
“Segala perancangan kita, sama ada politik, ekonomi, sosial mahupun pendidikan, perlu mengambil kira harapan dan pandangan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE