PETALING JAYA – Lebih 3.9 juta penerima Sumbangan Asas Rahmah (Sara) menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas di kedai berdaftar sepanjang April lalu.
Ia menerima sambutan menggalakkan apabila 72 peratus daripada 5.4 juta penerima Sara berbelanja menggunakan MyKad dalam bulan pertama pengkreditan sumbangan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa mendengar suara rakyat demi memastikan kelangsungan hidup mereka terus terbela.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peluasan kategori barangan yang dibenarkan di bawah Sara ini adalah hasil maklum balas diterima daripada majoriti penerima.
“Arakian, kerajaan bertindak segera untuk melaksanakannya dan insya-Allah, Kerajaan Madani akan terus menambah baik pelaksanaan program Sara dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama dijelaskan bahawa penerima Sara ditingkatkan daripada 700,000 kepada 5.4 juta orang mulai April lalu, manakala bilangan kedai runcit dan pasar raya berdaftar di bawah program ini mencecah lebih 3,700 rangkaian seluruh negara berbanding 700 unit pada tahun lalu.
Kata kenyataan Kementerian Kewangan itu, bilangan kedai runcit akan ditambah bagi memastikan terdapat kedai Sara yang berdekatan dengan tempat tinggal setiap penerima.
“Mulai 1 Mei 2025, program Sara juga telah ditambah baik melalui peluasan barangan asas yang dibenarkan iaitu meliputi produk kebersihan rumah seperti sabun atau serbuk pencuci untuk pakaian, pinggan mangkuk dan lantai.
“Kerajaan Madani mengambil keputusan untuk menambah kategori barangan Sara susulan
permintaan meluas para penerima. Dengan ini, kategori barangan berdaftar di bawah Sara meningkat kepada 14, merangkumi barangan makanan asas, kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan,” jelas kenyataan itu.
Dari segi prestasi pelaksanaan Sara sehingga 29 April lalu, peratusan tertinggi penerima yang membuat pembelian Sara melalui MyKad adalah di Sabah dengan 84 peratus, diikuti Perlis (82 peratus), Kedah (80 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (79 peratus) dan Kelantan (78 peratus).
Sementara itu, kadar maksimum Sara yang diterima adalah sehingga RM2,100 untuk 2025 berbanding RM1,200 pada 2024, peningkatan 75 peratus daripada yang diterima pada tahun lalu.
Pembelian Sara boleh dibuat sepanjang tahun dan baki kadar atau kredit bulanan Sara akan dibawa ke bulan seterusnya sehingga 31 Disember 2025. – KOSMO! ONLINE