LUMUT – Hari Terbuka Armada (HTA) 2026 mendapat sambutan menggalakkan apabila 223,588 orang pengunjung direkodkan setakat pukul 11 pagi tadi telah mengunjungi program tersebut di Tambatan Pangkalan Lumut, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini.
HTA 2026 yang berlangsung sejak Jumaat lalu sehingga hari ini tersebut dianjurkan bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-92.
Seorang pengunjung, Mohd. Ikhsan Mojd. Azmi, 39, dari Jeli, Kelantan berkata, dia dan keluarganya tiba di Lumut semalam bagi menghadiri HTA 2026.
“Saya bertolak dari Jeli awal pagi semalam Dan sekitar tengah hari tiba di Lumut. Kami menginap di sebuah hotel di sini dan mengunjungi HTA petang semalam.
“Memang meriah dan anak-anak berpuas hati dengan kunjungi semalam. Hari ini pun kami ke program itu lagi kerana anak tak puas bergambar dengan anggota Pasukan Khas Laut (Paskal),” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, Nor Aziah Hassan, 41, berkata, dia dan keluarga dari Semenyih, Selangor menanti-nantikan HTA 2026 kerana mereka meminati program sedemikian.
Katanya, antara yang menggunakan mereka adalah aset-aset ketenteraan yang dipamerkan pada HTA 2026 kerana program berkenaan memberi peluang anak-anaknya bergambar dengan senapang mahupun jentera tentera.
“Memang biasanya itu yang kita serbu dulu pada HTA kerana bukan senang nak pegang senjata seperti ‘sniper’. Biarlah panas cuaca asalkan semua puas hati dengan kunjungan ini,” katanya.
Bagi Mohd. Nur Shamsul Iskandar, 35, pula berkata, dia dan adik-beradiknya seramai tiga orang mengunjungi HTA 2026 kerana mahu menaiki kapal seperti KD Hang Tuah yang dibuka kepada orang ramai.
“Biasanya kita tengok di televisyen atau media sosial sahaja tetapi HTA ini bukan peluang kepada orang ramai untuk mengunjungi dan naik sendiri ke kapal-kapal ini.
“Memang kami adik-beradik naik kapal seperti KD Hang Tuah, KD Lekir dan KD Kinabalu dan bergambar sepuas hati di atasnya. Memang rasa bersemangat apabila berada di dalam kapal-kapal tersebut,” katanya.
Pelbagai program disediakan buat orang ramai sejak hari pertama penganjuran HTA 2026, antaranya pertunjukan payung terjun, pameran aset ketenteraan serta konsert.
Turut diadakan adalah pertandingan perahu panjang dan perahu layar, demonstrasi manuvra bot dan jet ski selain pameran-pameran dari pelbagai pihak seperti Penyelam TLDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3














































