IPOH – Kuota harian sebanyak 50 liter bahan api bersubsidi pada kadar RM1.65 seliter yang diperuntukkan kepada golongan nelayan disifatkan mencukupi untuk menampung keperluan operasi mereka.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, pemberian subsidi itu bertujuan membantu menampung sebahagian kos operasi nelayan, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
Bagaimanapun katanya, sekiranya terdapat keperluan penggunaan bahan api yang melebihi kuota ditetapkan, nelayan perlu menanggung sendiri lebihan kos berkenaan.
“Ada nelayan yang merungut kerana mereka perlukan lebih (bahan api), tapi itu bergantung kepada kapasiti sampan dan kekuatan enjin yang digunakan mereka. Sekiranya mereka perlukan lebih, bermaksud mereka perlu menampung kos tersebut sendiri kerana dasar pemberian subsidi ialah untuk menampung sebahagian kos.
“Kerajaan beri (had maksimum) 50 liter sehari pada harga RM1.65 seliter dan pada ketika ini jumlah itu adalah mencukupi,” katanya pada sidang akhbar Program Jualan Ikan Murah sempena Program Madani Rakyat (PMR) 2026 Perak di Khemah Jualan Agro Madani di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, meskipun pelbagai pihak terkesan dengan kenaikan harga minyak dunia ekoran konflik di Asia Barat, golongan nelayan masih menikmati perlindungan melalui subsidi bahan api yang dikekalkan pada kadar RM1.65 seliter.
“Kerajaan memberikan kuota diesel sebanyak 70 juta liter sebulan kepada nelayan di seluruh negara. Bagi nelayan di Zon A, B dan C, mereka masih menikmati subsidi minyak pada harga RM1.65 seliter.
“Jika yang terkesan pun ialah nelayan Zon C2 kerana mereka tidak menikmati subsidi diesel seperti nelayan lain. Bagaimanapun, kita sedang meneliti kaedah-kaedah dan penyelesaian untuk membantu mereka berdasarkan kuota yang kita ada,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berlainan beliau berkata, lambakan bekalan ikan ketika ini turut membantu menstabilkan situasi pasaran selain memastikan bekalan makanan laut mencukupi untuk rakyat.
Katanya, faktor musim yang menyaksikan hasil tangkapan meningkat membolehkan pelbagai program jualan murah dilaksanakan di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3












![[VIDEO] Ada 6 lagi dapat 11A, doakan kawan-kawan saya juga – Fakhrul Iman](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/WhatsApp-Image-2026-04-02-at-10.23.27-PM.jpeg)


![[KEMAS KINI] Tiga sekeluarga maut, dua parah kemalangan tiga kenderaan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/f0f989eb-d1fe-48e5-ba1a-2ecfc6d9ccdb.jpeg)

































